Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan pengurusan Plaza Low Yat seharusnya sentiasa memastikan barangan yang dijual penjual di kompleks itu menjaga etika perniagaan dengan pelanggan.

Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun berkata, ia bagi mengelakkan sebarang unsur penipuan sekali gus mempertahankan hak pengguna pada setiap masa.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta pemilik Plaza Low Yat harus sentiasa memeriksa status barangan yang dijual peniaga di sana.

"Kita tidak mahu unsur penipuan atau pelanggaran undang-undang perniagaan berlaku. Hak pengguna perlu sentiasa dilindungi," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.


Khairul Azwan berkata demikian ketika mengulas kejadian rusuhan yang menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang cedera termasuk seorang wartawan manakala empat individu ditahan berhampiran Plaza Low Yat pada pagi Isnin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa dilaporkan berkata, pihaknya turut membuka dua kertas siasatan melibatkan Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

BACA: Pergaduhan di Low Yat boleh merebak jika tidak dipantau - Irmohizam

Jelasnya, siasatan juga dibuat di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan merusuh dan mencuri.

Pada malam Sabtu, sekumpulan tujuh lelaki mengamuk di Plaza Low Yat selepas seorang rakan mereka mendakwa ditipu penjual telefon bimbit di situ.

Dalam kejadian yang berlaku jam 7.50 malam itu, beberapa pekerja kedai telefon di plaza berkenaan dibelasah oleh kumpulan tersebut. Selain itu, mereka turut merosakkan peralatan dan barangan di dalam kedai.


Dalam pada itu jelas Khairul Azwan, masyarakat kini harus memberi polis masa untuk menyiasat insiden berkenaan.

"Ia tertakluk di bawah kuasa polis dan jangan semarakkan lagi dengan spekulasi.

"Elakkan melibatkan isu berkenaan dengan politik dan jangan bermain dengan api perkauman," ujarnya.


Kata Khairul Azwan, polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga perlu memantau sebarang provokasi di laman sosial mengenai insiden berkenaan.

TONTON: Kronologi rusuhan di Low Yat

"Penggunaan media sosial harus digunakan sepenuhnya untuk mempromosi keamanan serta semangat bersatu padu, bukannya provokasi sehingga menyebabkan ketegangan," tegasnya.

BACA: Gaduh Low Yat: KPDNKK mulakan siasatan, akan bekerjasama dengan pemilik hak cipta

Pada Ahad, Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Muez Abdul Aziz memberitahu, pihaknya akan memulakan siasatan berhubung dakwaan kononnya satu insiden pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yat pada malam Sabtu berpunca akibat penipuan oleh peniaga.