Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pelaksanaan hukuman itu akan dikuatkuasakan di bawah pindaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Beliau memberitahu, sekiranya individu berkenaan gagal mematuhi perintah berkenaan, maka boleh dikenakan denda RM2,000 hingga RM10,000.
Ketika ini, hukuman sedia ada hanya memperuntukkan denda RM500 hingga RM2,000 atau penjara sehingga setahun.
"Aktiviti pembersihan yang akan dilaksanakan di bawah perintah khidmat masyarakat ini merupakan sumbangan balik pesalah kepada alam sekitar yang dapat memberikan manfaat dan seterusnya menyokong hasrat kerajaan dalam mewujudkan negara yang lebih bersih, indah dan sejahtera," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Kor Ming menjelaskan, selain itu pelaksanaan perintah khidmat masyarat itu adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta mendidik masyarakat supaya peka terhadap kebersihan dan tidak membuang sampah kecil di kawasan awam dengan sewenang-wenangnya.
Susulan itu kata beliau, KPKT mengadakan sesi taklimat khas mengenai cadangan tersebut kepada Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara di Parlimen pada Selasa untuk memberi penerangan mengenai pindaan, penggubalan akta yang dicadangkan serta implikasinya.
