PUTRAJAYA : Kementerian Pendidikan (KPM) menyokong penuh usaha Kementerian Kesihatan (KKM) yang memberi manfaat kepada murid terutamanya berkaitan pembetulan ketajaman penglihatan pelajar.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, usaha ini memberi manfaat kepada murid dengan penglihatan yang baik, isu keciciran pembelajaran dapat ditangani sebaik mungkin.

"Pengkhususan bukan semata-mata kepada pemberian kaca mata tetapi tumpuan diberikan kepada saringan refraktif dan penajaan pembetulan ketajaman penglihatan.

"Ini perkara yang kita jarang jumpa dalam program yang melibatkan pemberian kaca mata, seperti yang dijelaskan Menteri Kesihatan tentang pentingnya usaha ini.

"Kita perlu melihat dalam konteks lebih menyeluruh dan memerlukan saringan yang lebih melihat kepada pembetulan ketajaman penglihatan, justeri KPM meyokong penuh program ini dan diharapkan dapat mendapat sambutan serta meningkatakn advokasi di kalangan ibu bapa dan ahli masyarakat berkaitan program ini," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Program Pemeriksaan Refraksi Dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan Kepada Murid Sekolah Rendah Tahun 1 Kategori B40 Dan M40 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2), di Putrajaya pada Khamis.

Melalui kerjasama KKM, KPM dan Optimax Eye Specialist Centre Sdn Bhd, projek rintis pengesahan masalah ketajaman penglihatan dan pemberian kaca mata percuma kepada murid daripada kategori B40 dan M40 dilaksanakan bagi memastikan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti untuk semua, terutamanya golongan yang paling memerlukan.