Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata pihaknya sentiasa komited untuk memastikan setiap murid dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya.
"Sejak sekian lama, KPM telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan keselamatan jalan raya.
"Malah, dalam kurikulum kami juga telah disisipkan elemen-elemen yang berkaitan dengan kesedaran keselamatan, supaya anak-anak kita faham mengenai pentingnya menggunakan kemudahan lalu lintas dengan sebaik-baiknya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Takwim Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden membabitkan murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Presint 11(1) di sini, yang mengalami kecederaan parah selepas terbabit dalam kemalangan minggu lepas.
Dalam kemalangan Khamis lepas, Khairul Hanafi, 8, dikatakan dirempuh sebuah kenderaan semasa hendak melintas jalan di hadapan sekolah di sini, dan orang ramai terpaksa menterbalikkan sebuah kereta bagi mengeluarkan beliau yang terperangkap di bawahnya.
Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed sebelum ini berkata murid itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selain patah kaki kiri.
Sementara itu, Azman berkata bantuan serta sokongan dari pelbagai pihak khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) penting dalam usaha meningkatkan kesedaran murid mengenai aspek keselamatan jalan raya.
"Saya kira banyak sekolah yang PIBG mereka sangat aktif. Mereka sentiasa bersama dengan pihak sekolah termasuk memberi sokongan untuk memastikan ada pihak yang mampu mengawal lalu lintas di hadapan sekolah berkenaan," katanya.
-- BERNAMA
