Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan jualan tiket untuk tren tambahan turut dibuka sejak 3 Januari lalu menawarkan 630 tiket sehari.
"Tren tambahan ini menawarkan 630 tiket sehari dan menjadikan jumlah keseluruhan tiket tren tambahan yang ditawarkan adalah sebanyak 11,970 tiket.
"Ini adalah inisiatif khas KTMB sebagai memenuhi permintaan penumpang yang tinggi serta membantu mengurangkan kesesakan trafik yang sering berlaku setiap kali musim perayaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Edaran Pek Cenderahati kepada pengguna perkhidmatan KTMB Komuter & Electric Train Service (ETS) anjuran Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di KL Sentral, di sini pada Sabtu.
Anthony dalam pada itu menjelaskan, status penjualan tiket Tahun Baharu Cina di antara 24 Januari hingga 2 Februari menyaksikan sebanyak 105,168 tiket ETS yang habis dijual, 43,920 tiket (KTM Intercity (Ekspres Rakyat Timuran, Ekspres Selatan, Shuttle Timuran) yang mana 33,831 atau 77 peratus telah terjual dengan 10,089 baki tiket masih tersedia.
Bagi shuttle Tebrau, sebanyak 99,200 tiket ditawarkan, 74,521 tiket terjual dan 24,679 baki tiket masih tersedia.
Sementara itu, setakat 25 Januari jumlah keseluruhan tiket ditawarkan adalah 248,288 dengan 90 peratus atau 223,801 tiket terjual.