SEMENYIH: Tidak mewah harta namun dia sanggup mempertaruhkan apa sahaja yang dimiliki demi membantu mereka yang memerlukan.
Bermula dengan membantu seorang warga emas gelandangan, Mohammad Azlan Abdul Rahman kemudiannya tekad menubuhkan sebuah pusat jagaan atas dasar simpati dan kasih sayang yang menebal.
Kisah Mohammad Azlan yang merupakan presiden dan pemilik Pusat Jagaan Al Fattah di Semenyih, tular selepas seorang individu memuat naik video pertemuan mereka di media sosial.
Menurut individu berkenaan, Mohammad Azlan yang bekerja sebagai pemandu bas persiaran, mahu menjual kereta miliknya untuk melangsaikan pembelian rumah jagaan yang menempatkan 22 warga emas itu.
Lebih memilukan, dia juga terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan demi mengumpulkan baki wang yang diperlukan iaitu RM200,000.
Dalam pertemuan dengan Astro AWANI pada Sabtu, Mohammad Azlan, 30, meluahkan rasa syukur apabila dana yang dibuka untuk tujuan tersebut sudah mencukupi hasil sumbangan orang ramai, hanya selepas beberapa hari video tersebut tular.
"Penghuni di sini tahu kita akan hilang rumah ini, mereka asyik tanya, apa perkembangan.
"Semalam saya beritahu kami dapat selamatkan rumah ini, semua gembira. Kehilangan rumah ini bermakna mereka hilang dan tak ada lagi tempat perlindungan.
"Kerana video yang tular itu, rakyat Malaysia bantu selamatkan rumah ini, kami doakan mereka murah rezeki, dibalas jasa baik dan dilipat gandakan rezeki," katanya.
Menurutnya, dia perlu menjelaskan baki bayaran itu sebelum penghujung Jun atau berdepan risiko kehilangan deposit hampir RM60,000 yang sudah dijelaskan.
Jika gagal mengumpulkan wang tersebut, Mohammad Azlan merancang menjual rumah milik ibunya di Ampang, biarpun ia pilihan yang berat untuk dilakukannya.
Namun dia gembira dan bersyukur kerana kuasa viral bukan sahaja berjaya membantunya menjelaskan baki bayaran rumah berkenaan, tetapi juga berjaya membuka mata banyak agensi untuk turut sama menghulurkan bantuan.
"Rumah ini kami sewa, tuan rumah beritahu pada hujung 2021 yang dia nak jual. Dia suruh cari rumah sewa lain, saya cakap nak beli tapi bagi masa setahun, saya cuba usahakan.
"Dia bagi masa setahun tapi setiap bulan dia tanya (tentang bayaran). Kami cuba buat (kumpul duit) sendiri tapi tak berjaya capai jumlah yang dimahukan.
"Kami buat kempen, buat iklan. Akhirnya Disember tahun lepas kami dapat bayar deposit dan kami perlu jelaskan bakinya akhir Jun ini," katanya.
Bercerita lanjut tentang pusat jagaan yang ditubuhkan pada 2018 itu, Mohammad Azlan memaklumkan dia tidak mempunyai niat lain selain mahu membantu menjaga warga emas yang memerlukan tempat tinggal.
"Pada awalnya, saya dan keluarga hanya bantu beberapa orang sahaja. Tapi apabila semakin ramai, timbul kebimbangan sebab saya bukan waris mereka, takut juga timbul isu apabila saya jaga mereka.
"Jadi saya putuskan tubuhkan pusat jagaan. Saya minta pendapat keluarga, mereka setuju cuma risau kerana kosnya tinggi.
"Tetapi saya yakinkan mereka, kalau nak buat perkara baik, Allah akan tolong," kata bapa seorang anak ini.
Katanya, cabaran terbesar yang dihadapinya sepanjang tempoh itu ialah semasa pandemik dan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuatkuasa.
"Cabaran semasa PKP memang hebat, saya hampir mengalah, terduduk juga. Ketika itu kami mempunyai 11 orang penghuni.
"Bekalan makanan cukup untuk dua minggu, tetapi saya takut memikirkan selepas itu, bagaimana nak bayar sewa, bil elektrik, bil air.
"Saya cari kerja, apa yang boleh buat. Saya jadi rider hantar makanan tetapi gaji tidaklah setinggi mana. Saya cuba juga tampung, Alhamdulillah orang ramai pun ada bantu hantar makanan dan keperluan," ujarnya lagi.
Sebagai pusat yang beroperasi secara persendirian, Mohammad Azlan sentiasa mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi membantu mereka menguruskan perbelanjaan rumah jagaan itu.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melawat media sosial mereka di Facebook dan Instagram untuk maklumat lanjut.
Madiha Abdullah
Sun Jun 04 2023

Mohammad Azlan berbual bersama penghuni Pusat Jagaan Al-Fattah. - Astro AWANI

Manfaat PKS: MITI, SC lancar dana pelaburan bersama RM131.5 juta
Dana itu bertujuan menggalakkan syarikat tempatan, khususnya PKS, mengambil bahagian dalam pertumbuhan ekonomi.

Malaysia perketat penguatkuasaan tangani lambakan e-waste - Nik Nazmi
Malaysia akan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang bagi menangani isu lambakan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) dari negara maju.

Sarawak terajui peranan tangani perubahan iklim menerusi pembangunan lestari
Sarawak teguh dengan dasar penyahkarbonan dan kelestarian, memainkan peranannya dalam perjuangan memerangi perubahan iklim demi kepentingan umat manusia sejagat.
Yoon Suk Yeol pertahan keputusan isyihar darurat
Susulan itu, lapan hakim yang mengendalikan kes ini akan memutuskan sama ada untuk menyingkirkan Yoon daripada jawatan atau mengembalikannya ke tampuk kepimpinan.
Taiwan tahan kapal kargo China
Pengawal pesisir Taiwan pada Selasa menahan sebuah kapal kargo milik China sebagai respon terhadap isu kabel dasar laut Penghu di selat Taiwan yang terputus. Pihak pengawal pesisir wilayah itu dalam kenyataan berkata, pihaknya menghantar tiga buah kapal bagi mengepung kapal 'Hong Tai 58' yang didaftarkan di bawah Republik Togolese.
Qatar tuan rumah Persidangan Web 2025
Persidangan Web Antarabangsa yang membuka tirainya buat julung kali di Doha, Qatar dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung dari serata dunia. Penganjur sidang berkata, mereka yang hadir termasuk lebih 1,500 pelopor syarikat pemula, ribuan figura pelbagai bidang seperti politik, ekonomi dan teknologi dari 90 buah negara dan rantau seluruh dunia.
Apple Labur $500 Bilion di Amerika Syarikat, Cipta 20,000 Pekerjaan
Apple mengumumkan pelaburan sebanyak 500 bilion dolar Amerika di Amerika Syarikat dalam tempoh empat tahun akan datang.
Beribu mangsa pekerjaan scam dibebaskan
Beribu warganegara asing dibebaskan dari jenayah penipuan dalam talian (scam) dalam operasi besar-besaran yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa dari tiga negara China, Thailand dan Myanmar. Mereka merupakan kalangan individu yang terperangkap di premis-premis yang dikawal oleh kumpulan penjenayah.
Empat maut di jabatan runtuh korea selatan, operasi menyelamat masih berjalan
Empat orang maut dan enam lagi cedera pada Selasa,akibat runtuhan di tapak pembinaan lebuh raya di bandar Anseong, Korea Selatan. Pihak berkuasa bomba mengesahkan angka korban tersebut dalam kemas kini terkini.
KKM ambil 3,228 jururawat jawatan tetap
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pengambilan 3,228 jururawat pada tahun 2025 daripada graduan Diploma Kejururawatan keluaran institusi pendidikan dalam negara bagi tujuan mengisi perjawatan tetap di KKM.

Kuasa viral 'selamatkan' Pusat Jagaan Al-Fattah
Mohammad Azlan meluahkan rasa syukur apabila dana yang dibuka untuk tujuan tersebut sudah mencukupi hasil sumbangan orang ramai, hanya selepas beberapa hari video tersebut tular.