Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia seakan sudah menjadi satu trend apabila berbicara soal Palestin akan dikait dengan agama, walhal ia jauh lebih besar daripada itu.
“Malam ini barangkali Tian Chua sahaja yang hadir, orang bukan Islam tidak bersama kerana kita membawa isu yang bukan bentuk kemanusiaan.
“Tambahan pula timbul trend di Malaysia ini, orang kafir buat apa pun kita tidak boleh sokong walaupun dia buat baik. Hina orang kafir ini boleh walau kita fitnah dan kena denda RM850,000, itu bagi mereka tidak mengapa, jihad kononnya. Ini bukan ajaran Islam dan nilai manusiawi sebenar,” katanya.
Beliau yang berucap dalam program A Night of Humanity: Palestine and The Right to Return, di sini pada Sabtu berkata, kesannya juga dapat dilihat apabila ramai orang Islam tidak turut serta dalam kebanyakan program solidariti terhadap Palestin.
Tegasnya, ini harus diubah kerana kejumudan sedemikian hanya menutup mata ramai pihak terhadap nilai kebenaran yang ditonjolkan pejuang Hamas.
Sementara itu, Mohamad turut memuji sikap orang bukan Islam di negara Eropah yang disifatkannya lebih menghayati erti kemanusiaan jika ingin dibandingkan dengan pemimpin di negara Arab.
“Saya hari-hari berangan ingin sertai demonstrasi Palestin di negara Eropah, misalnya di Itali, mereka yang bukan Islam pergi ke kilang senjata, laung hentikan eksport senjata ke Israel.
“Mereka bukan Islam tapi jiwanya terpanggil kerana mereka tidak boleh lihat kanak-kanak dibunuh, wanita terkorban, hospital dibom. Malangnya, beberapa negara Arab pula tidak peduli pun apa yang berlaku di Palestin,” bidas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu lagi.