KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melancarkan Dasar Francais Negara 2030 (DFN 2030) semalam, bertujuan memperkukuh ekosistem francais di Malaysia dan memperluas akses pasaran di dalam dan luar negara.

DFN 2030 merangkumi lima teras utama, iaitu penambahbaikan dasar dan tadbir urus, mempromosikan francais sebagai model perniagaan pilihan, meningkatkan kapasiti dan keupayaan usahawan francais, mengoptimumkan akses kepada bantuan kewangan, dan meningkatkan penembusan pasaran pada peringkat domestik dan global.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick ketika melancarkan dasar itu bersempena dengan Festival Francais Antarabangsa Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) (PIFF 2025) di sini, berkata DFN 2030 mencerminkan komitmen kerajaan dalam merangsang industri francais yang dinamik serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan inovasi.

"DFN 2030 dilihat sebagai platform yang mampu melonjak prestasi usahawan khususnya usahawan francais, ke arah memajukan industri francais secara holistik, membolehkan mereka bersaing pada peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran itu.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Pengerusi PERNAS Datuk Hazimah Zainuddin.

Ewon juga yakin industri francais negara akan terus berkembang pesat sekali gus menjadikan Malaysia sebagai hab francais utama di rantau Asia.

"Penganjuran PIFF 2025 terus menyokong dasar ini dengan membuka akses pasaran global kepada usahawan, menjadi platform pengantarabangsaan pertama yang direka untuk memenuhi matlamat dan aspirasi yang digariskan dalam DFN 2030.

"PIFF 2025 memberi inspirasi kepada usahawan francais menerusi peluang rangkaian, pandangan inovasi perniagaan dan kolaborasi strategik. Acara ini juga menampilkan penyertaan jenama terkemuka tempatan dan antarabangsa, serta menyediakan peluang pekerjaan dalam industri.

"Bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, KUSKOP menerusi PERNAS menekankan elemen ASEAN, termasuk penyertaan negara ASEAN sebagai pempamer, ahli panel forum dan rakan padanan perniagaan," katanya.

Di bawah tema "Ekosistem Francais yang Dinamik dan Mampan", DFN 2030 akan memacu ekosistem industri francais sambil menyokong pertumbuhan dan pembangunan usahawan yang beroperasi dalam model perniagaan francais.

PIFF 2025 yang berlangsung dari 7 hingga 9 Feb, menarik penyertaan daripada pemain industri francais tempatan dan global, menampilkan 150 pempamer dengan 20 peratus melibatkan peserta antarabangsa dan menyasarkan kehadiran 15,000 pengunjung sepanjang acara tiga hari.

Bertemakan Brew Your Success, Empowering Entrepreneurs, PIFF 2025 memberikan tumpuan kepada industri kopi, teh dan kafe, serta pameran, forum keusahawanan, padanan perniagaan, pertandingan seni latte dan barista, cabutan bertuah, kejohanan e-sukan, persembahan busker dan konsert mini yang menampilkan artis terkenal.

Pada acara itu, Ewon turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERNAS dengan SME Corp, Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), TERAJU dan pembentangan skim pembiayaan PERNAS.

-- BERNAMA