KUALA PILAH: Seramai 368 daripada 460 penduduk di perkampungan Orang Asli Chergun dan Guntur telah menjalani saringan pengesanan kusta setakat 19 Februari lalu.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, saringan itu dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak sembilan kes telah disahkan sejak usaha ini dimulakan pada Julai 2024.

"Kesemua pesakit telah menerima rawatan mengikut garis panduan perubatan yang ditetapkan oleh KKM.

"Kerajaan negeri turut bersedih atas pemergian seorang pesakit berusia 18 tahun dari Kampung Orang Asli Chergun yang meninggal dunia pada 17 Februari 2025 lalu," katanya.

Katanya, berdasarkan pemantauan dan tindakan yang telah diambil oleh JKN Negeri Sembilan, situasi kusta di dua perkampungan itu adalah terkawal tiada keperluan untuk mengadakan pengasingan atau kuarantin di sana

Ujar beliau, kerajaan memberi jaminan bahawa rawatan bagi pesakit kusta adalah berkesan dan tidak perlu dilakukan sebarang langkah kuarantin tersebut.

"Kerajaan menyeru agar masyarakat tidak panik dan terus memberikan kerjasama kepada pasukan kesihatan dan pihak berwajib dalam usaha pengesanan serta kawalan jangkitan.

"Kerajaan negeri bersama KKM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan terus memantau situasi ini dengan rapi dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara," katanya. - Sinar Harian