KUALA LUMPUR: Saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah dijual pada harga antara RM6.80 dan RM7.70 seunit, menghasilkan pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun kewangan 2023, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47 peratus pada 2023 turut menjadi faktor utama strategi penjualan saham.

Sehubungan itu, katanya tuduhan bahawa KWSP mengalami kerugian daripada penjualan ini adalah tidak berasas dan ini jelas telah ditolak oleh KWSP melalui kenyataan akhbarnya pada 12 Feb 2025.

“Berdasarkan kenyataan ini, jelas bahawa KWSP telah mencatatkan keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB dan berjaya merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Dis 2023,” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang ingin mengetahui jumlah keuntungan atau kerugian dialami KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham MAHB dan bagaimana ia dilaporkan dalam penyata kewangan KWSP.

Amir Hamzah berkata KWSP juga telah berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus bagi Simpanan Shariah pada 2023. 

“Secara keseluruhan, sejak 2014, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB telah mencapai nilai RM650 juta,” katanya.

Katanya aktiviti jual beli saham MAHB dan penswastaan MAHB yang baru dimuktamadkan pada tahun ini adalah dua pelaburan yang berbeza iaitu dari segi matlamat pelaburannya dan dari segi jabatan yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan tersebut.

Menurutnya, sehingga pengumuman Tawaran Sukarela (VGO) pada 15 Mei 2024 di Bursa Malaysia, aktiviti dagangan saham MAHB oleh pengurus dana saham tersenarai berjalan mengikut mandatnya untuk menjana pulangan untuk ahli-ahli KWSP.

KWSP mengamalkan proses tadbir urus yang tegas melalui protokol perintang maklumat atau dikenali sebagai ‘Chinese wall’ yang merupakan amalan piawaian standard dalam kalangan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan institusi kewangan, katanya. 

“Di bawah protokol perintang maklumat, Jabatan Pelaburan Strategik (JPS) yang bertanggungjawab ke atas VGO MAHB ini adalah dilarang sama sekali daripada berkongsi maklumat sensitif dan bukan umum kepada Jabatan Ekuiti (IP).

“Protokol ini memastikan pemisahan maklumat agar tidak berlaku sebarang percanggahan kepentingan yang boleh membawa risiko berlakunya 'insider trading' yang merupakan kesalahan jenayah di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA),” katanya.

Beliau berkata protokol perintang maklumat tidak sewajarnya diperlekehkan kerana ia merupakan langkah kawalan penting sebagai pertahanan terhadap 'insider trading' seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 190, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Katanya ‘insider trading’ merupakan satu kesalahan jenayah yang jika disabitkan boleh membawa kepada hukuman mandatori penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM1 juta.

“Sekiranya KWSP menggunakan maklumat dalaman untuk membuat dagangan saham, ini boleh merosakkan integriti dan keadilan pasaran saham di Malaysia memandangkan penyertaan KWSP adalah sebanyak 38 peratus daripada keseluruhan pasaran ekuiti tersenarai domestik,” katanya. 

Beliau berkata kawalan dalaman ketat yang telah diwujudkan dan dipraktikkan dengan penuh integriti oleh KWSP inilah yang telah menyumbang kepada keteguhan KWSP sebagai sebuah institusi pelaburan yang disegani sepanjang hampir 75 tahun penubuhannya. 

“Sebagai institusi pelabur terbesar di Malaysia, KWSP mengambil berat peranannya dalam menyumbang kepada kestabilan pasaran kewangan. 

“Apa-apa tindakan tidak wajar oleh KWSP bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi dan kedudukan KWSP, malah boleh menjejaskan prestasi pasaran kewangan negara," katanya.

-- BERNAMA