Kadar dividen bagi simpanan Konvensional adalah daripada jumlah agihan sebanyak RM63.05 bilion; manakala bagi simpanan Shariah, membabitkan agihan berjumlah RM10.19 bilion.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan agihan untuk tahun 2024 sebanyak RM73.24 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion, meningkat 11 peratus berbanding RM66.99 bilion yang direkodkan pada 2023.
Jumlah itu adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai bagi tahun berkenaan.
"Ahli menyimpan dalam KWSP sepanjang kerjaya mereka, selama 30 hingga 40 tahun, jadi apa yang benar-benar penting ialah pulangan jangka panjang.
"Kami berbesar hati untuk menunjukkan bahawa kadar dividen jangka panjang, yang ditetapkan setiap tahun untuk KWSP adalah agak stabil sejak dua dekad yang lalu," katanya dalam Taklimat Prestasi Kewangan KWSP 2024, pada Sabtu.
Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, kadar dividen KWSP yang lebih tinggi bagi tahun 2024, didorong oleh pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi yang kukuh, serta pengurusan portfolio yang berhemah.
Jelasnya, strategi pelaburan yang pelbagai membolehkan KWSP meraih peluang pertumbuhan, mengoptimumkan pulangan dan memperkukuh jaminan kewangan jangka panjang untuk ahli.
"Di peringkat domestik, pelaburan yang kukuh, pasaran buruh yang sihat, dan inflasi yang stabil telah merangsang permintaan, sementara eksport mendapat manfaat daripada kestabilan global dan kitaran pertumbuhan teknologi.
"Di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, inisiatif kerajaan di bawah Belanjawan 2024, serta pelan strategik yang lebih luas di bawah kerangka Ekonomi MADANI menarik pelaburan asing dan mengukuhkan ekonomi, selain mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan yang mampan," ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau menekankan bahawa ketidaktentuan pasaran yang dialami pada tahun 2024 menggariskan kepentingan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP dalam mengharungi keadaan ekonomi yang mencabar.
