KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil keterangan lapan individu yang disyaki memuat naik kandungan bersifat palsu dan jelik di media sosial.

Dalam satu kenyataan MCMC berkata, kandungan tersebut didakwa boleh menimbulkan kekeliruan serta kebencian terhadap Institusi Diraja, khususnya Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Katanya, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima dan pasukan penyiasat telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Operasi pemeriksaan dilakukan di enam negeri, iaitu Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Pahang

"Dalam operasi itu, lapan unit telefon pintar dan lapan kad SIM disita bagi membantu siasatan.

"Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti yang dirampas bagi mengumpul bukti," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

MCMC berkata, jika disabit kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

MCMC turut menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dalam memuat naik kandungan di media sosial dan tidak menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian negara.