SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil lapan lagi saksi bagi membantu siasatan berhubung penahanan empat pegawai bekas Perdana Menteri ke-9 pada minggu lalu.


Ringkasan AI
  • SPRM akan memanggil lapan lagi saksi minggu ini dan minggu hadapan untuk membantu siasatan berhubung penahanan empat pegawai bekas Perdana Menteri ke-9.
  • Siasatan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan AMLATFPUAA 2001, dengan Bahagian Pencegahan Wang Haram meneliti dokumen yang dirampas.
  • Bekas Perdana Menteri ke-9 mungkin akan dipanggil untuk dirakam keterangan, bergantung kepada tahap kesihatannya semasa, sementara siasatan masih giat dijalankan.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua saksi tersebut akan dipanggil dalam masa terdekat iaitu dalam minggu ini.

Beliau berkata, lapan saksi tersebut akan dipanggil bermula minggu ini dan minggu hadapan.

“Selain itu Bahagian Pencegahan Wang Haram (AMLA) sedang meneliti dokumen-dokumen yang dirampas.

"Siasatan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)," katanya pada Khamis.

Menyentuh sama ada bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau individu kenamaan akan dipanggil untuk dirakam percakapan, Azam enggan mengulas lanjut.

Jelas beliau, siasatan masih diteruskan oleh SPRM dan pihaknya tidak dapat menjangkakan bila tarikh siasatan akan dapat dilengkapkan.

Sementara itu, sumber rapat dengan SPRM menyatakan ada kemungkinan bekas Perdana Menteri ke-9 akan dipanggil untuk dirakam keterangan.

Kata sumber, setakat ini, bekas Perdana Menteri itu masih mendapatkan rawatan di hospital.

Tambah sumber, beliau akan dipanggil SPRM bergantung kepada tahap kesihatan semasa.

"Walau bagaimanapun, siasatan masih giat dijalankan dan beberapa aset serta duit wang tunai telah dijumpai di rumah bekas pegawai kanannya dan ia telah disita," ujarnya.

Pada 18 Februari, tiga pegawai yang mempunyai kaitan dengan Ismail Sabri dibebaskan dengan jaminan, manakala seorang lagi pada Ahad.

Pada Selasa, dua individu bergelar Datuk merupakan antara empat bekas pegawai kanan Ismail Sabri ditahan untuk membantu siasatan lanjut berhubung beberapa kes yang dikaitkan dengan rasuah serta pengubahan wang haram.

Selain itu, seorang pegawai eksekutif sebuah yayasan dan seorang wanita yang juga pembantu kepada seorang pegawai khas terbabit turut ditahan oleh agensi antirasuah itu.

Penahanan itu dilakukan SPRM mengikut Seksyen 16a Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Sinar Harian difahamkan, beberapa kes sedang disiasat oleh SPRM ketika ini dan antaranya membabitkan perbelanjaan dana kerajaan berjumlah RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti. -Sinar Harian