KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan buah rumah mengalami kerosakan teruk akibat puting beliung yang melanda kawasan Parit 4, Sekinchan pagi Khamis.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihak mereka menerima panggilan kecemasan jam 7.48 pagi sebelum Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan bergegas ke lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiupan angin kencang telah menyebabkan kerosakan lapan buah rumah di kawasan berkenaan. 

"Bagi memastikan keselamatan penduduk, pihak bomba mengarahkan semua penghuni rumah yang terjejas untuk berpindah ke kawasan selamat.

"Pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati tiada mangsa mengalami kecederaan atau kehilangan nyawa dalam kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

JBPM Selangor menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca yang tidak menentu dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.