Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberitahu, pembinaan fasa pertama telah siap pada 30 April 2024 dan kini diikuti dengan fasa kedua.
"Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri pada 2 Mei 2024, Kementerian Pengangkutan (MOT) juga sedang meneliti skop teknikal dan anggaran kos bagi melaksanakan pemanjangan landasan di LTSIP dengan tambahan sebanyak 400 meter, menjadikan keseluruhan landasan sejauh 2,800 meter.
"LTSIP sudah boleh mengendalikan operasi penerbangan antarabangsa berjadual dan tidak berjadual seperti mana lapangan-lapangan terbang domestik yang lain seperti di Kuantan dan Ipoh walaupun tidak dikategorikan sebagai lapangan terbang antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (Pengkalan Chepa) mengenai usaha terkini Kerajaan bagi menjadikan LTSIP sebagai lapangan terbang antarabangsa di Parlimen pada Rabu.
Tambah beliau, Kerajaan sentiasa menggalakkan syarikat-syarikat penerbangan negara untuk mewujudkan laluan baharu, termasuk laluan antarabangsa.
Walau bagaimanapun, langkah untuk membuka laluan tersebut adalah keputusan komersial yang dibuat oleh syarikat penerbangan berasaskan kepada daya maju komersial dan daya tarikan destinasi tersebut.
