Dua isu kritikal telah timbul daripada liputan kes ini:
1. Penyebaran Visual Kanak-Kanak
Beberapa laporan telah menyertakan visual yang boleh membawa kepada pengecaman mangsa kanak-kanak. Walaupun niat mungkin hanya untuk melaporkan, pendedahan sebegini boleh menyebabkan trauma berpanjangan dan melanggar hak kanak-kanak terhadap privasi dan perlindungan. Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan) menekankan bahawa sebarang kandungan yang melibatkan kanak-kanak mesti mengutamakan kebajikan mereka dan mengelakkan sebarang bentuk eksploitasi, termasuk melalui imej atau deskripsi yang boleh mendedahkan identiti atau membahayakan mereka. Ini bukan sekadar isu etika tetapi juga soal menjaga maruah dan kesejahteraan masa depan individu yang terdedah.
2. Stigmatisasi Komuniti Orang Kurang Upaya (OKU)
Menghebahkan dengan sensasi status OKU pelaku telah menyumbang kepada stereotaip yang memudaratkan komuniti OKU. Adalah penting untuk memahami bahawa ketidakupayaan tidak sinonim dengan tingkah laku jenayah, dan laporan yang tidak bertanggungjawab boleh memperdalam stigma sedia ada, menjejaskan ramai individu yang sudah pun terpinggir. Laporan yang seimbang seharusnya menumpukan kepada fakta kes tanpa mensensasikan ciri-ciri yang tidak berkaitan dengan jenayah itu sendiri. Gambaran sebegini berisiko mengasingkan lagi komuniti yang masih giat berjuang untuk hak dan peluang yang sama rata.
Selain isu etika, pelaporan yang tidak bertanggungjawab juga berisiko melanggar perlindungan undang-undang Malaysia, termasuk yang menjaga privasi dan maruah kanak-kanak serta komuniti yang terpinggir.
Komitmen Bersama untuk Kandungan Bertanggungjawab
Menggalakkan pelaporan yang bertanggungjawab dan melindungi komuniti yang terdedah adalah tanggungjawab bersama. Kod Kandungan, yang dibangunkan melalui pendekatan berbilang pihak berkepentingan, mencerminkan komitmen kolektif industri, pencipta kandungan, dan masyarakat untuk menegakkan piawaian etika dalam penyebaran kandungan. Hanya melalui kewaspadaan bersama kita dapat memastikan landskap media mencerminkan nilai keadilan, empati, dan akauntabiliti.
"Di sebalik setiap tajuk berita, ada insan sebenar—seorang kanak-kanak, sebuah keluarga, dan sebuah komuniti. Jika laporan tidak dikendalikan dengan penuh tanggungjawab, kesannya boleh berlarutan jauh melangkaui kitaran berita. Tiada kanak-kanak yang patut dikenali identitinya, dan tiada komuniti yang patut menerima stigma hanya kerana cara sesuatu cerita disampaikan," kata Mediha Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum. "Kita perlu sentiasa peka terhadap kesan laporan terhadap kehidupan sebenar dan memastikan cara kita menyampaikan cerita membawa lebih banyak kebaikan daripada kemudaratan."
Seruan Tindakan
CMCF menyeru semua pihak untuk memainkan peranan dalam menguatkuasakan kawalselia kendiri dan memastikan pelaporan yang lebih bertanggungjawab:
• Pihak berkuasa memastikan kenyataan awam mereka mematuhi garis panduan etika dengan mengelakkan pendedahan maklumat sensitif yang boleh menjejaskan maruah mangsa atau menyumbang kepada stigma.
• Pengamal media melindungi identiti mangsa kanak-kanak dan mengelakkan mensensasikan ciri-ciri yang tidak berkaitan, termasuk ketidakupayaan.
• Pengguna media sosial mengamalkan kebijaksanaan apabila berkongsi kandungan, memastikan ia tidak menyebarkan kemudaratan atau stigma.
• Orang awam memainkan peranan aktif dalam kawalselia kendiri dengan melaporkan kandungan yang melanggar piawaian etika dan menyokong amalan media yang bertanggungjawab.
CMCF kekal komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi mewujudkan ekosistem kandungan yang selamat, menghormati, dan bertanggungjawab. Kami bersedia menyokong pengamal media, pihak berkuasa, dan orang awam dalam menegakkan piawaian ini melalui pendidikan, panduan, dan dialog terbuka.
Untuk maklumat lanjut atau panduan mengenai amalan pelaporan yang beretika, sila hubungi Content Forum di [email protected].
