LONDON: Lawatan kerja pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim ke London, United Kingdom (UK) berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM11 bilion dalam pelbagai sektor, termasuk tenaga boleh baharu dan ekonomi digital.

Menurut Perdana Menteri, kejayaan itu mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap dasar negara selepas beliau dan delegasi mengadakan beberapa siri pertemuan dengan 31 kapten industri terkemuka di UK.

Jelas beliau, potensi eksport yang dijana dalam tempoh lima tahun akan datang pula direkodkan sebanyak RM 500 juta meliputi produk peralatan dan komponen pesawat.

"Saya ada beberapa pertemuan dengan ketua-ketua syarikat, dan dalam pertemuan itu dizahirkan usul mereka.

"Menarik juga selain daripada pelaburan, ada dalam kalangan mereka yang memilih untuk mengimport barangan sekitar masa singkat kira-kira RM500 juta," katanya dalam sidang media bersama delegasi Malaysia sempena lawatan kerja beliau ke UK pada Jumaat malam (waktu tempatan).

Perdana Menteri juga memaklumkan, Malaysia dan UK bersetuju untuk meningkatkan kerjasama di tahap perkongsian strategik meliputi pelbagai sektor.

Jelas beliau, ia meliputi bidang perdagangan, pelaburan, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI) dan digital, perubahan iklim, pendidikan tinggi, pertahanan, serta keselamatan.

"Pertemuan dengan beberapa syarikat yang diatur oleh MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) nampaknya kesediaan menunjukkan peningkatan mendakak.

"Pertama mereka melihat ada kerjasama yang lebih erat antara dua kerajaan. Keduanya, kesungguhan kerajaan pentadbiran Keir Starmer untuk meningkat hubungan dengan Malaysia," tambah Anwar.

Perdana Menteri dalam rangka kerja lawatan ke London, UK dari 15 hingga 19 Januari atas jemputan rakan sejawatannya, Starmer.