KUANTAN: Lebih 100 individu menjadi mangsa penipuan sebuah koperasi yang mengakibatkan kerugian dianggarkan mencecah RM5.6 juta selepas gagal menerima pulangan yang dijanjikan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim yang mewakili ahli koperasi berkenaan berkata kegiatan itu telah berlarutan sejak 2021.

Beliau berkata kebanyakan ahli telah membayar puluhan ribu ringgit setiap seorang antaranya menggunakan wang persaraan dan simpanan sebagai pendaftaran menjadi ahli koperasi berkenaan dengan pembayaran dibahagikan kepada yuran keahlian, modal syer dan sebahagian simpanan khas.

"Mereka dipercayai tertarik untuk mendaftar apabila ditawarkan pembayaran dividen yang tinggi hingga 18 peratus setahun. Pada masa sama koperasi turut menawarkan kepada ahli untuk menyertai skim tempahan emas yang dijalankan oleh sebuah anak syarikat berkaitan koperasi berkenaan.

"Ahli-ahli juga telah menyertai skim tempahan emas dan mendakwa telah dijanjikan keuntungan satu hingga tiga peratus daripada jumlah yang telah dibayar untuk jangka masa sebulan dan tempahan akan diperbaharu bagi setiap bulan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagaimanapun, Hishamuddin berkata apabila tiba tempoh pembayaran keuntungan pihak syarikat gagal berbuat demikian dengan memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.

Mengulas lanjut, beliau berkata ahli koperasi yang kecewa dengan keadaan itu telah membuat laporan polis tetapi diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

"Kita nak minta kepada pihak polis pertimbangkan supaya buka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan berkolaborasi bersama SKM menjalankan siasatan kes ini agar tindakan sewajarnya dapat dikenakan kepada pihak berkaitan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi berkata pihaknya akan menyemak semua laporan yang diterima sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

-- BERNAMA