IPOH: Sebanyak 16,328 laporan direkodkan berkaitan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) di negara ini sepanjang tahun lepas.

Pengarah Yayasan Childline Datin Wong Poi Hong berkata data yang diperoleh daripada portal Internet Watch Foundation Malaysia menunjukkan mangsa merupakan kanak-kanak berumur tujuh hingga 13 tahun dan 15,902 laporan telah dimajukan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang untuk tindakan.

"Jenayah dalam talian terhadap kanak-kanak ialah masalah sosial yang paling cepat berkembang hari ini. Kira-kira empat peratus kanak-kanak di Malaysia yang menggunakan Internet telah mengalami kejadian OCSEA (eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian) yang jelas.

"Menurut tinjauan isi rumah, walaupun pesalah OCSEA selalunya orang yang tidak dikenali kanak-kanak itu, dalam sesetengah kes, pesalah ialah individu yang sudah dikenali kanak-kanak, selalunya kenalan dewasa, rakan sebaya bawah 18 tahun atau ahli keluarga," katanya ketika ditemui pemberita selepas Simposium Keselamatan dan Perlindungan Kanak-Kanak di Yayasan Ipoh di sini pada Sabtu.

Beliau berkata pelbagai inisiatif oleh kerajaan, masyarakat sivil dan industri sedang dilaksanakan di negara ini namun wujud kelemahan dalam penyelarasan dan kerjasama antara agensi selain sumber belanjawan yang terhad.

"Kekurangan penyiasatan dan pendakwaan mesra kanak-kanak, sokongan untuk melaksanakan piawaian sedemikian di seluruh negara dan pembaharuan lanjut perundangan diperlukan untuk memastikan tindak balas menyeluruh terhadap OCSEA," katanya.

Yayasan Childline ialah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang didaftarkan pada 2006 untuk menegakkan hak kanak-kanak (individu di bawah umur 18 tahun) kepada kelangsungan hidup, perlindungan, pembangunan dan penglibatan di Malaysia seperti yang diperuntukkan di bawah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1989, undang-undang dan dasar setempat.

-- BERNAMA