Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata daripada jumlah itu, 84 peratus merupakan kandungan berkaitan judi dalam talian dan penipuan (scam), lima peratus membabitkan buli siber manakala empat peratus meliputi iklan produk yang tidak dibenarkan.
"Kita tengok memang judi dan scam ini adalah kandungan kategori terbesar di platform media sosial seperti Facebook yang MCMC minta turunkan, walaupun kita sudah bekerjasama dengan baik tetapi platform berkenaan (media sosial) masih membenarkan aktiviti jenayah ini berlaku.
"Jadi, setelah dilesenkan kita akan minta supaya mereka (platform media sosial) mengenakan sekatan tertentu terhadap kandungan tertentu di platform mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian di Dewan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Kelantan menjadi lokasi pertama siri jelajah itu yang merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi MCMC bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dalam talian.
Jelajah itu akan diperluas ke seluruh negara bagi mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat sekali gus mengelakkan pengguna menjadi mangsa penipuan serta jenayah dalam talian.
Selain itu, pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial, pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta perundangan baharu Akta Keselamatan Dalam Talian turut dikuatkuasakan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes jenayah dalam talian pada tahun lepas meningkat sebanyak 35,368 melibatkan kerugian berjumlah RM1.5 bilion berbanding 34,495 kes pada 2023 dengan kerugian RM1.22 bilion.
"Pada akhir tahun lalu, PDRM dengan kerjasama MCMC telah melaksanakan Ops Pedo Bersepadu yang membawa kepada penangkapan seramai 13 suspek di enam negeri dan melibatkan rampasan lebih 40,000 bahan penganiayaan seksual kanak-kanak," katanya.
-- BERNAMA