Ringkasan AI
- Seramai 8,076 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan bertulis, dengan 6,231 daripada mereka adalah calon sekolah KPM.
- Antara sebab utama ketidakhadiran calon termasuk bekerja, masalah keluarga, masalah kesihatan, meninggal dunia, dan berpindah ke luar negara.
- KPM telah melaksanakan beberapa langkah intervensi seperti memantau kehadiran murid secara harian, mengaktifkan Task Force Intervensi Murid Berisiko Cicir SPM, serta melibatkan ibu bapa dan komuniti dalam usaha memastikan kehadiran calon menduduki peperiksaan SPM.
Kementerian berkenaan dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen memaklumkan daripada jumlah itu, 6,231 ialah calon sekolah KPM.
"Berdasarkan kepada analisis daripada Aplikasi Pengurusan Ketidakhadiran ke Sekolah Semasa Peperiksaan, antara sebab utama ketidakhadiran calon ketika peperiksaan SPM Tahun 2024 termasuk bekerja, masalah keluarga, masalah kesihatan, meninggal dunia dan berpindah ke luar negara," kata KPM.
Ia bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) yang ingin tahu punca calon SPM tidak hadir menduduki peperiksaan serta langkah intervensi menangani isu ini.
KPM menyatakan bagi menangani isu ketidakhadiran calon SPM, kementerian itu telah melaksanakan beberapa langkah antaranya memantau kehadiran murid ke sekolah secara harian melalui Sistem Kehadiran Murid (eKehadiran) dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) agar memudahkan pihak sekolah melaksanakan intervensi.
Selain itu, mengaktifkan Task Force Intervensi Murid Berisiko Cicir SPM pada semua peringkat dan memantau status murid berisiko cicir melalui papan pemuka bertujuan memastikan kehadiran calon dalam peperiksaan SPM dan mengoptimumkan tindakan intervensi bersesuaian.
"Melaksanakan aktiviti berfokus seperti Program Ziarah Cakna, sesi konsultasi ibu bapa, permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru serta pelibatan ibu bapa, komuniti dan swasta. Kebersamaan dalam melaksanakan tindakan ini menunjukkan usaha yang optimum daripada semua pihak," menurut KPM.
KPM juga telah melaksanakan pengesanan awal murid berisiko cicir dalam kalangan murid tingkatan 4 bagi memastikan mereka hadir menduduki peperiksaan SPM 2025.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)