JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh ibu mentuanya yang juga seorang warga emas di sebuah rumah di Taman Sri Skudai pada awal bulan ini.


Ringkasan AI
  • Zuraidi Zakaria, 51, dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh ibu mentuanya, Epah Daik, 79, di Taman Sri Skudai pada 5 Februari.
  • Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman.
  • Polis menahan seorang lelaki dan wanita bagi membantu siasatan susulan kematian warga emas itu dan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) untuk meneliti isu perpaduan.


Zuraidi Zakaria, 51, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Zuraidi didakwa menyebabkan kematian Epah Daik, 79, seorang warga tempatan di sebuah rumah di Jalan Tembaga Merah, Taman Sri Skudai di sini 5 Feb, 4.20 petang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebat minimum 12 kali jika sabit kesalahan.

Majistret Atifah Hazimah Wahab menetapkan 28 April sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan asid deoksiribonukleik (DNA).

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azmanm, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang lelaki dan wanita bagi membantu siasatan susulan kematian seorang wanita warga emas yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah rumah dekat Taman Sri Skudai, Skudai.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata tangkapan dua warga tempatan itu dibuat selepas polis mengesyaki terdapat unsur jenayah terhadap kematian warga emas itu.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan berhubung penemuan warga emas itu dalam keadaan terbaring di ruang tamu dan bertutup kain batik pada 5 Feb, 7.08 malam.

-- BERNAMA