PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini memerintahkan seorang lelaki dipenjara 30 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh anak lelaki tirinya yang berusia dua tahun pada 2019.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang meminda pertuduhan terhadap Mohammad Sofiyuddin Abu Bakar, 34, daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat dan menjatuhi hukuman penjara 16 tahun enam bulan ke atas tertuduh.

Ketika menyampaikan keputusan yang dibuat secara sebulat suara semalam, Ahmad Zaidi berkata Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf kerana meminda pertuduhan terhadap Mohamad Sofiyuddin.

Turut bersidang Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Panel itu memerintahkan Mohamad Sofiyuddin menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 26 Mei 2019.

Mohammad Sofiyuddin pada asalnya didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Muhammad Aqil Hairi Mohd Azrul Epindi di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Yan-Guar Chempendak, Guar Chempedak, Kedah, antara 7.30 hingga 8 malam pada 25 Mei 2019.

Berdasarkan fakta kes, ibu kanak-kanak itu telah meninggalkan anaknya di bawah jagaan Mohammad Sofiyuddin ketika dia pergi bekerja pada hari berkenaan.

Mohammad Sofiyuddin yang diwakili peguam Ai Cha Ran dan Surachetth Jotsuwan, mendakwa kanak-kanak itu terjatuh dari meja ke lantai dan dumbel, namun hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan trauma tumpul pada abdomen dan kecederaan dialami kanak-kanak itu tidak konsisten dengan kejadian jatuh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang.

-- BERNAMA