Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Mohd Shokri Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 9.40 pagi itu, suspek yang bersenjatakan pisau telah memaksa mangsa yang merupakan pembantu perpustakaan berkenaan menyerahkan seutas gelang emas bernilai kira-kira RM10,000 sebelum melarikan diri.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai polis berjaya menangkap suspek berusia 36 tahun kira-kira 3.40 petang, semalam di kawasan Kampung Kolam, Padang Besar.
"Hasil soal siasat, suspek mengaku melakukan samun secara bersendirian dan telah menjual barang kemas berkenaan di sebuah kedai emas di Jitra, Kedah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis turut merampas wang hasil jualan barang kemas itu, telefon bimbit, kenderaan yang digunakan dalam kejadian dan pakaian suspek.
Mohd Shokri berkata suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman lima hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau berkata polis juga menahan seorang lelaki yang merupakan pengurus sebuah kedai emas di Jitra pada 5.30 petang, semalam bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
