Tertuduh, Afif Jazimin Jamaluddin, 23, yang berasal dari Kampung Pisang, Kupang, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat api dengan membakar motosikal jenis Modenas Kris, SM Sport dan Honda EX5 sehingga menyebabkan kerosakan harta penduduk di Kampung Pisang, Kupang, jam 3.30 pagi, 24 Disember lalu.
Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan sama apabila membakar motosikal jenis Honda EX5 di Kampung Jerai, Kupang dan Modenas Kriss di Kampung Hangus, Kupang, pada jam 3.15 pagi dan 3.30 pagi, pada 27 Disember dan 2 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan denda.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Halimi Md Salleh dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nursyafina Baharudin.
Intan Nursyafina dalam rayuannya meminta hukuman penjara ke atas anak guamnya berjalan serentak dari tarikh tangkapannya berikutan tertuduh membuat pengakuan bersalah yang menjimatkan masa mahkamah.
Selain itu, tertuduh yang tidak bekerja masih mempunyai ibu bapa berusia 43 dan 52 tahun yang memerlukan perhatiannya.
Hakim Najwa kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 20 Januari lalu.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan berlaku siri kebakaran yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar Kupang, sejak hujung tahun lalu.
Suspek yang dipercayai mencetuskan sekurang-kurangnya sembilan kejadian kebakaran, bagaimanapun berjaya ditangkap polis pada 20 Januari lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh sebelum ini berkata, siasatan dilakukan pihaknya mendapati suspek berusia 23 tahun mengaku membakar rumah dan motosikal dengan nilai kerugian dianggar berjumlah RM770,000.
Tertuduh dilaporkan bertindak demikian atas rasa dendam kerana mendakwa dibuli di tempat kerja dan dipulau penduduk setempat.