KLUANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas dipercayai terbabit dalam insiden seorang lelaki warga Singapura dicederakan menggunakan parang di Kampung Tengah di sini pada awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki warga tempatan berusia 37 tahun itu ditahan di lokasi kejadian pada jam 6.10 pagi.

"Sebelum itu, polis telah menerima laporan seorang lelaki dicederakan menggunakan parang pada jam 5.50 pagi. Sepasukan anggota dari Balai Polis Kluang dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya menahan seorang suspek.

"Hasil semakan mendapati tangkapan mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala ujian saringan air kencing positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Bahrin, dua lagi rakan sejenayah suspek berjaya melarikan diri dan usaha mengesan kedua-duanya sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 3 Februari bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi mana-mana Balai Polis berdekatan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sebelum itu, tular satu rakaman video berdurasi 45 saat yang memaparkan insiden kejadian mangsa diserang menggunakan kayu serta cermin kereta dipercayai milik mangsa dipecahkan. -- Sinar Harian