BUTTERWORTH: Seorang lelaki bersama kekasihnya di hadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth di sini atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya dalam kejadian di Butterworth , bulan lalu.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki bersama kekasihnya didakwa membunuh ibu kandung lelaki tersebut di Butterworth.
  • Kedua-dua tertuduh menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret Butterworth dan tidak ditawarkan sebarang jaminan.
  • Kes melibatkan pertengkaran yang membawa kepada pembunuhan serta rekod lampau tertuduh yang berkaitan dengan keganasan terhadap ibu bapanya dan positif dadah.


Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh J Amrose, 24, dan S Litha, 20, di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal hari ini.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya dituduh secara bersama telah membunuh J Virgine, 60.

Kesalahan didakwa di lakukan di sebuah Pangsapuri Seri Orkid, Bagan Ajam, Butterworth di antara jam 6.43 petang hingga 8.37 malam , 31 Januari lepas.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.

Jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nurameera Shahrul Azrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Nurameera tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua- dua tertuduh kerana ia adalah kes bunuh.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 April untuk sebutan semula kes untuk laporan kimia dan laporan bedah siasat.

Media sebelum ini melaporkan pasangan kekasih itu ditahan pada 3 Februari kerana dipercayai terlibat kes bunuh ibu lelaki berkenaan.

Kes berkenaan terbongkar selepas mayat wanita berusia 60 tahun yang dipercayai telah dibunuh  ditemui susulan bau  busuk dari sebuah unit di pangsapuri tersebut.

Difahamkan berlaku pertengkaran antara dua beranak itu antara jam 6 petang hingga 8 malam pada Jumaat minggu lepas sebelum mangsa dipukul menggunakan objek tumpul di bahagian kepala.

Semakan polis juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau atas kesalahan memukul kedua-dua ibu bapanya serta positif dadah.