SHAH ALAM: Tular satu video di TikTok memaparkan sisi romantis suami yang lengkap berbaju Melayu beserta songkok menjemput isterinya pulang dari tempat kerja dengan menaiki motosikal.

Pesara, Safari Mat Noor, 68, berkata, dia berbuat demikian memandangkan hari tersebut merupakan ulang tahun perkahwinannya yang ke-25.

Menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, apabila tiba hari istimewa misalnya ulang tahun perkahwinan atau kelahiran, dia akan memberikan jambangan bunga buat isteri, Aida Suhana Samingan, 47.

Namun, jelasnya, kali ini dia mahu tampil berbeza iaitu mengenakan sepersalinan lengkap baju Melayu dan songkok bagi mengenang kembali momen-momen indah sepanjang berumahtangga.

“Tidaklah ingat sangat, tetapi saya akan tetapkan tarikh nikah dalam kalendar telefon bimbit sehari sebelumnya supaya boleh buat kejutan pada isteri.

“Kebiasaannya sekadar beri jambangan bunga, tapi kali ini nak buat kelainan sedikit. Tak tahu pula video itu boleh tular di TikTok.

“Memang terkejutlah sebab saya rasa biasa sahaja. Cadangnya nak beri kejutan pada isteri, tetapi saya pula terkejut,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Hantaran di TikTok @nurieeana iaitu rakan sekerja kepada sang isteri memperoleh 134,000 tontonan, 400 komen dan 10,500 tanda suka setakat ini, malah turut diulang siar di beberapa platform media lain.

Ditanya tentang tips menjaga kerukunan rumahtangga selama lebih dua dekad, Safari berpandangan, doa adalah kunci utama dalam menjaga hubungan agar sentiasa harmoni, bahagia dan berkekalan hingga akhir hayat.

Tambahnya, suami perlu memainkan peranan dengan baik, bersabar, bertolak ansur dan menuruti kata-kata atau kemahuan isteri.

“Kenal dengan isteri sekitar lima enam bulan terus kahwin. Tak ada apa yang boleh saya kongsi sangat, cuma banyakkan berdoa untuk kekal dan dengar sahaja cakap isteri, insya-Allah.

“Bila di Tanah Suci Makkah pun kami doa supaya hubungan berkekalan. Anak-anak pun memang faham kami macam mana, selalu bergurau senda,” ujarnya lagi. - Sinar Harian