Perintah reman ke atas kesemua suspek dikeluarkan oleh Majistret Chia Huey Ting di Mahkamah Majistret Balik Pulau pagi Rabu.
Reman tersebut bermula Rabu sehingga 25 Januari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kesemua suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 8.20 pagi untuk menjalani proses reman.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Sazalee Adam berkata, suspek terdiri daripada empat remaja berusia 16 tahun dan seorang lelaki berusia 21 tahun.
“Empat daripada mereka ditahan selepas salah seorang suspek terlebih dahulu menyerah diri di balai polis semalam (Selasa)," katanya.
Tambah Sazalee, siasatan awal mendapati suspek tidak mengenali mangsa yang maut dalam kejadian tersebut.
"Mangsa merupakan pelajar sekolah berusia 17 tahun.
“Suspek yang melanggar mangsa, termasuk lelaki berusia 21 tahun, didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya.
Dalam kejadian sekitar jam 4.30 pagi Selasa, mangsa dilaporkan maut selepas motosikalnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lagi motosikal.
Insiden berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju ke Batu Maung, berhampiran Pantai Seagate.
Polis kini sedang melengkapkan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. -- Sinar Harian