Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata dalam kemalangan kira-kira 2.30 pagi itu, lima sekeluarga berusia 10 hingga 74 tahun berkenaan dalam perjalanan pulang ke Balik Pulau dari Hatyai, Thailand.
"Pemandu Perodua Alza, isteri dan anaknya serta ibu mertua dan kakak ipar lelaki itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan antaranya tangan serta kaki.
"Turut cedera di tangan serta muka pemandu kereta Mercedes A250 Sport dan seorang penumpang kereta itu, masing-masing berusia 21 tahun," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila MPV tersebut yang menghala ke Balik Pulau bertembung dengan Mercedes A250 yang memasuki laluan bertentangan selepas hilang kawalan ketika di selekoh.
Sazalee berkata akibat pelanggaran itu kedua-dua kenderaan tersebut terbakar sepenuhnya dan kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam.
"Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak bomba dan kes disiasat di bawah Sek 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya
-- BERNAMA