PETALING JAYA: Bagai bunga api yang hanya indah dipandang seketika sebelum lenyap, itulah perumpamaan lirik yang dihasilkan tanpa rasa dan jiwa.
Berpengalaman menghasilkan puluhan lirik lagu hari raya yang malar segar, antara Sepasang Kurung Biru (Khairil Johari Johar), Suasana Hari Raya (Anuar Zain dan Ellina) dan Selamat Hari Raya (Rahimah Rahim), Datuk Habsah Hassan berpendapat lirik lagu raya yang dihasilkan sejak kebelakangan ini hanya sekadar bait-bait kata yang disusun tanpa alur cerita.
Hasilnya, banyak lagu raya moden yang dihasilkan kurang jiwa dan sukar melekat di telinga dan hati pendengar.
"Tidak dinafikan zaman berubah, pengalaman dan kehidupan manusia juga berubah. Zaman dahulu, kita melalui dan banyak menyimpan nostalgia. Kita melalui lebih banyak pengalaman, peristiwa, kenakalan dan sebagainya.
"Zaman sekarang, remaja ada kenangan juga tetapi cara pergaulan dan kenakalan tidak sama, mereka lebih banyak menghabiskan masa di telefon sama ada melayari media sosial atau permainan video.
"Mungkin kerana itu, gambaran lirik sekarang kurang meninggalkan kesan kerana penulis itu pun orang muda. Satu hari nanti apabila mereka lebih dewasa, mereka akan melalui situasi, apabila dengar balik lirik yang ditulis, mereka sedar sebenarnya lirik itu tak ada isi," katanya ketika ditemui Astro AWANI di pejabatnya, minggu lalu.
Pengkarya, kata Habsah, perlu berani mencari kelainan dari segi isi cerita kerana tema hari raya sangat terhad, dan pengalaman serta pemerhatian akan membantu menghasilkan sebuah lagu dengan jiwa yang kuat.
"Kita sebagai orang yang menghasilkan karya harus fikir, apa kelainan yang boleh kita masukkan. Saya ada sebuah lagu raya tetapi tak sebut langsung tentang hari raya, tajuknya Abang Pulang nyanyian Malek Ridzuan.
"Ia menceritakan tentang kepulangan perantau ke kampung, tidak sebut hari raya tetapi ada cerita kejar ayam itik, menziarahi rumah bakal tunang, pengalaman berdepan bakal bapa mertua.
"Itu suasana hari raya dahulu. Zaman saya dahulu, sebulan sekali pun belum tentu makan ayam, selalunya kami makan ayam dan daging semasa kenduri atau hari raya.
"Itulah kesan daripada pengalaman. Apabila tulis lirik, ia menjadi sebuah cerita, bukan sekadar ucapan selamat hari raya semata-mata," ujarnya.
Tambah Habsah, penulis lirik seharusnya mempunyai sensitiviti dengan persekitaran untuk dijadikan asas dalam penulisan lirik, selain pengalaman sendiri.
Mengambil contoh lagu Sepasang Kurung Biru, kisah lagu berkenaan diambil berdasarkan cerpen nukilannya sendiri berjudul Sepasang Kurung Ungu namun diubahsuai mengikut keperluan penyanyi yang menyampaikannya.
"Cerpen itu mengisahkan tentang seorang wanita yang berdepan tekanan jiwa selepas kehilangan bakal suami ketika hari perkahwinan menjelang tiba. Ia bukan pengalaman saya tetapi apa yang saya lihat berlaku di sekeliling saya.
"Tetapi komposer lagu itu, yang juga penyanyinya, Khairil Johari Johar, ialah seorang lelaki. Jadi saya ubah sedikit jalan cerita dalam lirik tersebut," katanya yang mula menulis cerpen dan drama radio sejak di sekolah menengah lagi.
Mengalu-alukan penghasilan lagu-lagu raya baharu, Habsah bagaimanapun berharap penyanyi atau komposer muda mengambil tugasan tersebut dengan serius dan penuh tanggungjawab.
"Janganlah hanya menulis. Belajarlah untuk menjadi pemerhati yang baik. Tidak semestinya pengalaman kita sendiri, boleh jadi juga cerita orang lain yang sebaya tetapi tidak bernasib baik, contohnya.
"Ada satu lirik lagu yang saya tulis bertajuk Wajahmu Di Hari Raya. Semasa menulis, saya bayangkan seorang anak yang merindukan wajah ibunya yang sudah tiada. Itu situasi yang akan dilalui semua orang, jadi pendengar mudah tersentuh.
"Sebab itu saya sarankan penulis baharu dan muda, jadi pemerhati dan pembaca yang baik di samping menggunakan pengalaman sendiri.
"Dari situ, penulisan anda akan menjadi lebih bermakna," katanya mengakhiri perbualan.
Madiha Abdullah
Sat Apr 22 2023

Habsah berpendapat lirik lagu raya yang dihasilkan sejak kebelakangan ini hanya sekadar bait-bait kata yang disusun tanpa alur cerita. - Foto Astro AWANI
Tentera Israel luaskan serangan di utara Tebing Barat
Rejim Zionis memperhebat serangan di utara Tebing Barat dengan mengerahkan kereta kebal di sekitar bandar Jenin buat kali pertama sejak serangan mereka di wilayah itu pada 2002.
Pendekatan berpasukan cerminan dasar-dasar negara dilaksanakan berkesan
Penganalisis politik berpandangan penekanan terhadap pendekatan berpasukan dalam menangani cabaran utama termasuk hubungan luar negara dan perubahan kedudukan geoplitik mencerminkan keperluan untuk memastikan dasar-dasar negara dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dakwaan wujud kem dalam DAP perkara biasa - Loke
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyifatkan dakwaan wujudnya kem tertentu dalam parti itu menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sebagai perkara biasa yang ditimbulkan pihak luar bagi mengganggu-gugat ketenteraman parti.
Jawatankuasa ditubuhkan kaji beban tugas pensyarah
Sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi meneliti dan mengkaji beban kerja yag ditanggung tenaga akademik di universiti awam.
Tidak perlu kategori sekolah, tumpu naik taraf sekolah daif
Pendekatan Kementerian Pendidikan membahagikan sekolah kepada tiga kategori iaitu sekolah fokus, sekolah aspirasi dan sekolah inspirasi hanya akan mencetus jurang perbezaan antara sekolah di negara ini.
Dua platform jualan 'online' diarah turunkan iklan gula-gula kenyal
Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan dua platform jualan dalam talian untuk menurunkan iklan penjualan gula-gula kenyal atau 'gummy' berbentuk mata yang sebelum ini dikatakan meragut nyawa seorang kanak-kanak di Pulau Pinang.
Kuala Lumpur paling rendah, Terengganu tertinggi
Kadar kelahiran di Kuala Lumpur adalah yang terendah di Malaysia dengan 10.7 bagi setiap seribu penduduk pada 2023.
Polis nafi kejadian samun, serangan terhadap pasangan suami isteri di Bangi
Polis menafikan dakwaan berlakunya kejadian samun dan serangan terhadap pasangan suami isteri bersama anak mereka di Bangi dekat sini, seperti yang tular di media sosial.
[TERKINI] 23 individu termasuk 7 polis cedera dalam letupan bom di Yala
Dua puluh tiga individu termasuk tujuh orang anggota polis cedera dalam satu insiden letupan bom berhampiran sebuah pasar raya di daerah Bannang Sata, Wilayah Yala, pada Sabtu malam.

Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 23 Februari 2025.

Lirik lagu raya bukan sekadar bagi ucapan - Habsah Hassan
Habsah Hassan berpendapat lirik lagu raya yang dihasilkan sejak kebelakangan ini hanya sekadar bait-bait kata yang disusun tanpa alur cerita.

Artis pandai buat lagu lebih berbakat? Ini komen Habsah Hassan...
Kata Habsah, meletakkan penilaian bagi seorang artis atau hasil seni harus melihat pada pelbagai aspek.

Pengarah Raja Ahmad Alauddin meninggal dunia
Pengarah filem dan drama terkenal, Raja Ahmad Alauddin menghembus nafas terakhir di kediamannya, di ibu negara pagi tadi.