Ringkasan AI
- Rasionalisasi Subsidi dan Penghentian Pembaziran: Langkah rasionalisasi subsidi terhadap rakyat perlu diselaraskan dengan menghentikan pembaziran oleh agensi kerajaan yang mencatat kerugian. Pelan Pemulihan untuk Agensi Rugi: Agensi yang mencatatkan kerugian mesti mengemukakan pelan pemulihan dalam tempoh enam bulan atau berdepan dengan penamatan operasi. Audit 'Value for Money': Pelaksanaan audit 'value for money' bagi memastikan setiap perbelanjaan memberikan impak yang maksimum.
Penganalisis berpandangan syarikat-syarikat subsidiari dan agensi-agensi kerajaan juga perlu bertanggungjawab dengan memastikan tidak ada dana awam yang dibazirkan.
Prof. Madya Sekolah Politik dan Hubungan Antarabangsa Fakulti Sains Sosial University of Nottingham Malaysia, Dr. Tricia Yeoh berkata, langkah rasionalisasi subsidi terhadap rakyat perlu diselaraskan dengan menghentikan pembaziran oleh agensi kerajaan yang mencatat kerugian.
“Kerajaan ketika ini sangat terkedepan dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi untuk pastikan dana awam tidak dibazirkan. Tetapi sekiranya, kerajaan mahu perbelanjaan wang rakyat yang lebih baik, maka mesti diselaraskan dengan usaha memastikan dana awam tidak dibazirkan melalui agensi yang tidak berfungsi. Kecekapan itu mesti menjadi hala tuju ke depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Dalam pada itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menegaskan agensi yang rugi mesti mengemukan pelan pemulihan dalam tempoh enam bulan atau berdepan dengan penamatan operasi.
“Kita mesti pastikan agensi yang mencatatkan kerugian untuk membentangkan pelan pemulihan dalam tempoh enam bulan. Jika mereka gagal, saya fikir pegawai-pegawai yang ada di agensi tersebut mesti dipindahkan segera atau ditamatkan perkhidmatan,” ujarnya.
Beliau juga mencadangkan agar pelaksanaan audit ‘value for money’ (nilai untuk wang) bagi memastikan setiap perbelanjaan memberikan impak yang maksimum.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin, mendedahkan sebanyak 131 (60.4 peratus) daripada 217 syarikat subsidiari telah mencatatkan keuntungan berjumlah RM4.087 bilion manakala baki 86 (39.6 peratus) syarikat subsidiari mengalami kerugian berjumlah RM2.810 bilion.
Agenda AWANI: Tumpuan laporan Ketua Audit Negara
