Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 mengenai Penyata Kewangan Agensi Persekutuan Tahun 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini berkata secara keseluruhannya, bayaran balik pinjaman pendidikan yang tertunggak menunjukkan peningkatan dari 2019 hingga 2023.
Justeru laporan itu mengesyorkan PTPTN melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 5 Julai lepas, antaranya mengeluarkan surat peringatan dan tindakan penguatkuasaan, notis tuntutan, saman serta penghakiman.
Laporan itu turut mencadangkan PTPTN mengkaji semula mekanisme kutipan bayaran balik yang lebih efektif dan meningkatkan pemantauan terhadap pengurusan pinjaman pendidikan dengan menetapkan kutipan bersasar mengikut tahun tertunggak, sekali gus memastikan ia tidak bergantung kepada pinjaman daripada institusi kewangan tempatan untuk melaksanakan fungsinya.
"Mengkaji semula insentif diskaun bayaran balik terhadap pinjaman pendidikan serta pengecualian 100 peratus bayaran balik pinjaman pendidikan peminjam bagi yang menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya kepada peminjam bersasar atau yang layak," menurutnya.
Jumlah tunggakan bayaran balik pinjaman pendidikan tertinggi direkodkan adalah pada 2023 iaitu RM10.853 bilion, yang membabitkan 1.20 juta peminjam, manakala tunggakan bayaran balik pinjaman pendidikan terendah adalah pada 2018 berjumlah RM6.348 bilion melibatkan 0.97 juta peminjam.
Laporan itu memaklumkan bahawa bayaran balik pinjaman pendidikan dari 2014 hingga 2023 adalah berjumlah RM26.414 bilion melibatkan 106.09 juta transaksi, dengan kaedah bayaran balik pinjaman adalah melalui potongan gaji, debit terus, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta kaedah-kaedah lain seperti bayaran di kaunter dan dalam talian.
"Jumlah transaksi tertinggi kutipan adalah mengikut kaedah-kaedah lain, iaitu 62.38 juta transaksi diikuti dengan kaedah potongan gaji sebanyak 23.84 juta transaksi," menurut laporan itu.
Peratusan bayaran balik pinjaman pendidikan yang diterima oleh PTPTN bagi tempoh 2014 hingga 2023 pula adalah 7.3 peratus hingga 79.3 peratus berbanding tunggakan bayaran balik pinjaman pendidikan yang direkodkan.
"Analisis menunjukkan kutipan bayaran balik tertinggi berbanding tunggakan bayaran balik pinjaman pendidikan adalah pada 2017, iaitu sejumlah RM5.192 bilion (79.3 peratus), manakala kutipan bayaran balik pinjaman pendidikan terendah adalah pada 2014 berjumlah RM0.717 bilion (7.3 peratus)," menurut laporan itu.
Laporan itu memaklumkan kutipan bayaran balik tertinggi pada 2017 adalah kesan daripada tindakan penguatkuasaan yang tegas seperti penyenaraian hitam peminjam dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) serta mewajibkan potongan gaji bagi kakitangan awam.
"Bagaimanapun penguatkuasaan ini telah dihentikan pada 2018 menyebabkan penurunan kutipan bayaran balik dari 2018 dan seterusnya," menurutnya.
Mengenai kedudukan baki pinjaman pendidikan sehingga 31 Dis 2023 pula, jumlah baki yang direkodkan adalah RM43.677 bilion selepas mengambil kira pengurangan dan penambahan pinjaman bagi tahun berkenaan.
Sementara itu, laporan itu memaklumkan Kerajaan Persekutuan menanggung kos dana pinjaman atau sukuk PTPTN berjumlah RM8.359 bilion dari 2019 hingga 2023, selain membuat bayaran balik terhadap perbelanjaan bagi Pelaksanaan Insentif Diskaun Bayaran Balik Pinjaman dan Insentif Pengecualian Bayaran Balik Pinjaman sejumlah RM1.268 bilion kepada PTPTN bagi tempoh sama.
Terdahulu, dilaporkan isu berkaitan PTPTN, Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), termasuk dalam Fokus Utama Audit iaitu satu daripada tiga isu tumpuan LKAN 1/2025, selain isu Pengesahan Penyata Kewangan dan Analisis Penyata Kewangan.
-- BERNAMA
