Bapa kepada tiga anak itu, berkata walaupun lumpuh dari paras pinggang hingga ke kaki dan mempunyai kad Orang Kurang Upaya (OKU), ia sama sekali tidak melunturkan semangatnya untuk bangkit dan kini mampu melakukan modifikasi kerusi roda bagi membantu golongan yang senasib dirinya.
"Ketika kejadian saya bekerja sebagai mekanik di bengkel di Pengkalan Chepa. Tragedi berlaku ketika saya sedang membaiki bas kilang yang rosak sebelum secara tiba-tiba bahagian depan bas menghempap saya akibat kesilapan teknikal dan mencederakan saraf tunjang.
"Saya mendapatkan rawatan pemulihan di Wisma Kayu Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam keadaan terlantar hinggalah saya mampu duduk empat bulan kemudian," katanya ketika ditemui Bernama di Pusat Transformasi OKU Universiti Sains Malaysia (USM)-Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Kubang Kerian di sini baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Mohd Rosdi yang menetap di Kampung Kubang Badak, Kedai Lalat di sini berkata dia memutuskan untuk menyertai badan bukan kerajaan (NGO) bagi memberi pendedahan kepada golongan OKU tentang penggunaan kerusi roda, selain berkongsi ilmu yang diperoleh ketika mengikuti sesi pemulihan di HKL.
Selepas hampir lima tahun bersama NGO, dia mula beralih angin dengan mencabar diri untuk menjadi juruteknik modifikasi kerusi roda di Pusat Transformasi OKU USM-MAIK pada 2022.
"Saya memanfaatkan pengalaman dan ilmu sebagai mekanik hampir 29 tahun untuk menguasai kemahiran membaiki serta melakukan modifikasi kerusi roda mengikut keperluan golongan OKU.
"Pada awalnya agak sukar untuk ubah suai kerusi roda kerana tidak begitu tahu mengenai peralatan itu tetapi saya cuba praktikkan kemahiran membaiki kenderaan pada kerusi roda pula," katanya yang mampu membaiki serta mengubah suai sekurang-kurangnya tiga kerusi roda sehari termasuk kerosakan tayar.
Mohd Rosdi berkata semasa proses modifikasi kerusi roda dia terlebih dahulu akan memberi khidmat nasihat bagi pemilihan kerusi roda mengikut jenis, saiz dan penggunaan sebelum proses penilaian seterusnya dilakukan.
"Kebiasaannya keperluan pesakit OKU ini berlainan dan sesetengah pesakit memerlukan kerusi roda yang bersesuaian dengan keadaan mereka termasuk memerlukan bed rest, foot rest dan sebagainya.
"Elemen ini dapat disesuaikan menerusi proses modifikasi yang ditetapkan dengan harga bermula RM130 hingga mencecah RM700," katanya yang telah melakukan modifikasi lebih 300 kerusi roda.
Mohd Rosdi berkata selepas kerusi roda siap diubah suai, dia akan mencuba terlebih dahulu untuk memastikan ia berada dalam keadaan yang baik, lancar untuk ditolak serta sesuai dengan keadaan OKU mengikut garis panduan dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi modifikasi kerusi roda.
"Selain menawarkan khidmat modifikasi kerusi roda, saya turut menawarkan latihan dan keselamatan kerusi roda kepada pemegang kad OKU, iaitu mereka hanya perlu mendaftarkan diri di Pusat Transformasi OKU USM-MAIK.
"Khidmat modifikasi kerusi roda ini ditawarkan kepada semua OKU. Selain itu, golongan istimewa ini juga boleh mendapatkan khidmat latihan serta cara penggunaan kerusi roda yang lebih baik bagi membuatkan mereka lebih yakin dalam mengendalikan peralatan ini untuk meneruskan rutin harian," katanya.
-- BERNAMA
