Susulan itu, semua Pengarah Bebas Bukan Eksekutif (INED) MAHB telah mengemukan peletakan jawatan mereka, yang akan berkuat kuasa pada tarikh penyahsenaraian syarikat tersebut, kata beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.
Pengarah Bebas Bukan Eksekutif itu termasuk Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Mohamad Husin dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, Ramanathan Sathiamutty; Cheryl Khor Hui Peng; Datuk Seri Koe Peng Kang dan Chris Chia Woon Liat.
Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif, Tan Sri Datuk Zainun Ali yang pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah juga telah mengemukakan peletakan jawatannya berikutan tamat tempoh perkhidmatannya sebagai penama Kementerian Kewangan (Diperbadankan) [MOF Inc.] pada 16 Februari lalu.
Nungsari berkata, tindakan peletakan jawatan itu diambil susulan mesyuarat Lembaga Pengarah terakhir MAHB sebagai sebuah syarikat senaraian awam.
“Saya secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada semua atas perkhidmatan kepada syarikat.
“Mereka telah menjalakan tanggungjawab secara professional dan mengangkat piawai urus tadbir tertinggi sepanjang berkhidmat dalam lembaga pengarah.
“Mereka telah membawa bakat dan pengalaman yang telah memberi manfaat kepada syarikat," menurut beliau.
Nungsari turut berkata, mesyuarat itu menandakan berakhirnya perjalanan selama 25 tahun MAHB sebagai syarikat tersenarai awam, bermula pada November 1999 apabila syarikat tersebut membuat penampilan pertama pada harga RM2.50 sesaham.
Jelas beliau, tawaran yang dibuat oleh Gateway Development Alliance (GDA) untuk menswastakan MAHB dimuktamadkan pada harga RM11 sesaham, dengan kadar pertumbuhan purata terkompaun (CAGR) melebihi 6.0 peratus dalam harga saham sepanjang 25 tahun.
Pada masa sama, Nungsari turut berharap GDA akan terus membawa MAHB ke tahap yang lebih baik selain melaksanakan tanggungjawabnya terhadap kebajikan kakitangan pada masa hadapan.
GDA merupakan sebuah konsortium yang terdiri daripada Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) dan Rakan Kongsi Infrastruktur Global (GIP).
