KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini, memutuskan akan mendengar saman pemula difailkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim bagi mencabar penamatan keahliannya daripada Bersatu.

Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat persoalan berhubung Perlembagaan Bersatu yang perlu didengar dan diputuskan oleh mahkamah.

"Mahkamah ini mendapati permohonan Mohd Azizi untuk mencabar status keahliannya dalam Bersatu menimbulkan isu undang-undang dan fakta yang boleh dipertikaikan," katanya dan menetapkan 28 April sebagai tarikh pendengaran.

Sehubungan itu, Hakim Roz Mawar menolak permohonan Bersatu dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah untuk membatalkan saman pemula Mohd Azizi mengenai persoalan sama ada beliau masih ahli Bersatu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membatalkan saman pemula itu yang turut mencabar pilihan raya kecil (PRK) kerusi DUN Nenggiri.

Hakim berkata isu berhubung PRK itu kini bersifat akademik berikutan PRK kerusi DUN Nenggiri telah berlangsung. PRK itu diadakan pada 17 Ogos tahun lepas.

"Selepas pilihan raya selesai, cabaran terhadap pemegang kerusi sebelumnya menjadi tidak relevan melainkan wujud isu penipuan atau ketidaksahihan," katanya dan menambah keputusan pilihan raya seharusnya dicabar menerusi petisyen pilihan raya, bukannya melalui saman pemula.

Mohd Azizi memfailkan saman pemula itu pada 24 Jun tahun lepas dengan menamakan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, Mohd Amar dan SPR sebagai defendan.

Mohd Azizi memohon pengisytiharan bahawa PRK bagi kerusi DUN Nenggiri tidak boleh dijalankan atau dilakukan oleh SPR (defendan keempat) kerana masih disandang beliau.

Beliau turut memohon pengisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahlian beliau dalam Bersatu menerusi notis bertarikh 12 Jun 2024 adalah tidak sah dan batal serta salah di sisi undang-undang.

Mohd Azizi juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman itu tidak sah dan batal serta pemecatan jawatannya daripada Bersatu adalah berniat jahat.

Menurut plaintif, pindaan kepada Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong pesaing politik adalah tidak berperlembagaan.

-- BERNAMA