PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 23 Nov ini untuk keputusan berhubung rayuan tujuh individu yang mahu membatalkan larangan merokok di semua premis makanan yang dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan (KKM).
Hakim Datuk Yaacob Md Sam, yang mengetuai panel tiga hakim berkata mereka memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti dan memutuskan isu yang dibangkitkan oleh peguam dalam rayuan tersebut yang melibatkan kepentingan awam.
Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk M. Gunalan dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lim Chong Fong.
Tujuh individu itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 29 Okt 2019 yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan KKM melarang merokok di kedai makan.
Tujuh individu itu ialah Mohd Hanizam Yunus, 55, Zulkifli Mohamad, 60, Mohd Laisani Dollah, 49, Mohd Sufian Awaludin, 38, Ridzuan Muhammad Noor, 56, Mohd Yazid Mohd Yunus, 51, dan Yuri Azhar Abdollah, 43.
Pada prosiding mahkamah yang dijalankan secara dalam talian, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili individu itu, berhujah bahawa larangan merokok yang dikuatkuasakan di kedai makan adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak munasabah kerana ia dibuat tanpa penelitian yang betul dan menyeluruh.
Beliau berkata sebelum penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan pada 2019, perokok di Malaysia boleh merokok di zon khas yang disediakan oleh pemilik kedai makan yang mempunyai penyaman udara dan tidak mempunyai penyaman udara.
"Kami berhujah bahawa keadaan ini lebih seimbang bagi hak perokok serta bukan perokok iaitu pelanggan yang tidak merokok boleh memilih untuk duduk di tempat yang ditetapkan dan perokok pula boleh merokok di tempat terbuka," hujah beliau lagi.
Haniff Khatri berkata hakim Mahkamah Tinggi juga telah terkhilaf dari segi undang-undang dan malah, dalam memutuskan bahawa hak anak guamnya di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan tidak dicabuli dan perokok tidak didiskriminasi di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan berikutan penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Kementerian Kesihatan, berhujah bahawa larangan merokok di kedai makan adalah munasabah dan tidak menyalahi undang-undang.
"Hak untuk merokok bukan hak asasi untuk hidup dan jika individu memilih untuk merokok, mereka perlu menghormati hak bukan perokok dan mereka (perokok) perlu bergerak tiga meter dari kedai makan untuk merokok.
"Undang-undang itu digubal untuk melarang merokok di kedai makan, mengambil kira kesihatan awam dan kualiti hidup," katanya.
Dalam semakan kehakiman yang difailkan pada 31 Dis 2018 dengan menamakan KKM sebagai responden, tujuh lelaki itu yang menubuhkan persatuan dikenali sebagai Persatuan Pertahankan Perokok (PHP) memohon satu deklarasi bahawa keputusan KKM untuk melarang merokok di kedai makan adalah tidak berperlembagaan.
Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makanan dan kerajaan tidak menyediakan kemudahan yang mencukupi seperti kawasan merokok atau memasukkan peruntukan di bawah larangan merokok bagi pengusaha kedai makan untuk menyediakan kawasan larangan merokok mereka sendiri.
KKM mengenakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan berkuat kuasa 1 Jan 2019.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Sep 08 2022

Hakim Datuk Yaacob Md Sam, yang mengetuai panel tiga hakim berkata mereka memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti dan memutuskan isu yang dibangkitkan. - Gambar fail/BERNAMA
10 Berita Pilihan - (22 Februari 2025)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Tumpuan Ahad – 23 Februari 2025
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.

Faizal Saari umum bersara daripada hoki antarabangsa
Namun, Faizal menegaskan akan terus beraksi untuk Terengganu dalam saingan MHL serta Piala Tun Abdul Razak.

Penantian berakhir, Selangor FC julang Piala Cabaran
Selangor FC menepati ramalan apabila meraih kemenangan bergaya dengan agregat 7-0 ke atas PDRM FC untuk julung kali menjulang Piala Cabaran.
China kesan satu lagi varian baharu Koronavirus
Penyelidik di Institut Virologi di China, di sini telah mengesan satu lagi varian Koronavirus baharu dikenali sebagai HKU5-CoV-2 yang disyaki berpotensi untuk merebak melalui manusia.
Kepengerusian ASEAN-Malaysia mampu lonjak ekonomi negara
Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 mampu melonjakkan keupayaan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan perdagangan.
Tambah baik peraturan makanan sedia ada
Mengambil contoh penjualan produk gummy, Pensyarah Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Aqilah Amalina Jaafar berpandangan, makanan itu masih lagi dijual di pelbagai platform, walaupun ia bertentangan dengan peraturan sedia.
Kerajaan lipat ganda basmi kemiskinan tegar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan usaha membasmi kemiskinan tegar akan dilipatgandakan dan diteruskan dengan lebih agresif di seluruh negara.
PM tegaskan tiada syarat sokong beliau jika mahu peruntukan
Perdana Menteri menegaskan kerajaan tidak pernah menetapkan sebarang syarat yang memerlukan Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokonh beliau sekiranya mahu mendapat peruntukan.
Kerajaan Persekutuan adakan perbincangan dengan Sarawak
Kerajaan Persekutuan akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Sarawak bagi memperincikan skop kerjasama antara Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Mahkamah Rayuan tetapkan 23 Nov keputusan cabar larangan merokok
Mahkamah Rayuan menetapkan 23 Nov ini untuk keputusan berhubung rayuan tujuh individu yang mahu membatalkan larangan merokok di semua premis makanan yang dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan (KKM).

Mahkamah tolak permohonan tujuh perokok cabar larangan merokok di premis makan
Hakim berpendapat bahawa kesemua pemohon telah terkhilaf apabila menyatakan hak untuk mereka merokok akan terhakis sama sekali dengan adanya peraturan larangan merokok berkenaan.