Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhammad Yasin atau lebih dikenali Yasin mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pada 22 Ogos tahun lepas, Muhammad Yasin dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya.
Penyanyi lagu 'Mimpi Laila' dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan untuk kesalahan memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram.
Bagi kesalahan menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik, Muhammad Yasin dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan manakala untuk kes memberi dirinya dadah berbahaya, dia dihukum penjara 10 bulan.
Pada 29 Nov 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Muhammad Yasin, 49, atas tiga kes dadah itu namun mahkamah memerintahkan dia ditempatkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta mengikut Seksyen 348(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
Muhammad Yasin ditempatkan di hospital berkenaan selama tempoh mengikut perkenan Sultan Selangor di bawah Seksyen 348(2) KTJ.
Hakim Mahkamah Sesyen Faiz Dziyauddin telah melepas dan membebaskan Muhammad Yasin daripada semua pertuduhan atas alasan ketika kejadian penyanyi itu berada dalam keadaan mental tidak waras walaupun sedar perbuatannya.
Pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap pembebasan itu dan Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan mahkamah rendah serta mendapati Muhammad Yasin bersalah atas semua pertuduhan berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, Muhammad Yasin didapati bersalah kerana memiliki 193.7 gram kanabis di sebuah kondominium di Kota Damansara pada 24 Mac 2022 manakala pertuduhan kedua membabitkan penanaman pokok kanabis di tempat dan masa yang sama.
Pertuduhan ketiga ialah memberikan dirinya dadah jenis 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid" di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada tarikh sama.
-- BERNAMA