PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak bantahan awal pihak pembelaan yang menyatakan pertuduhan ke atas ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin yang didakwa mengabaikan kanak-kanak autistik itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya adalah defektif atau cacat.


Ringkasan AI
  • Mahkamah Sesyen menolak bantahan awal pihak pembelaan yang menyatakan pertuduhan terhadap ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin adalah defektif atau cacat.
  • Mahkamah mendapati pertuduhan mengikut undang-undang dan tiada unsur yang menunjukkan tertuduh dinafikan pembelaan yang sewajarnya.
  • Kes ditetapkan untuk perbicaraan pada 2 petang ini, dengan pihak pendakwaan akan membuktikan pengabaian yang menyebabkan kecederaan fizikal terhadap Zayn Rayyan.


Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz dan peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari serta Ismanira Abdul Manaf.

"Mahkamah telah meneliti bantahan awal tertuduh-tertuduh dan hujahan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah ini mendapati pertuduhan dalam kes ini adalah mengikut undang-undang yang diperuntukkan tidak defektif.

"Mahkamah juga mendapati tiada unsur dalam pertuduhan yang menunjukkan bahawa tertuduh-tertuduh dinafikan pembelaan yang sewajarnya.

"Oleh itu, bantahan awal pihak pembelaan ditolak dan kes ditetapkan perbicaraan pada 2 petang ini," kata Hakim Syahliza semasa prosiding kes itu.

Perbicaraan dijadualkan bermula pukul 9 pagi tadi, namun ia dilewatkan selepas pembelaaan mengemukakan bantahan awal sebelum prosiding kes itu.

Terdahulu, Aqharie Durranie berhujah bahawa pihak pendakwaan akan membuktikan mangsa (Zayn Rayyan) di bawah jagaan kedua-dua tertuduh dan pengabaian yang menyebabkan kecederaan fizikal akan dibuktikan berdasarkan keterangan-keterangan saksi-saksi (pendakwaan).

"Maka, saya percaya tiada pertuduhan cacat terhadap kedua-dua tertuduh ini," katanya.

Bagaimanapun, Haresh Mahadevan berkata butir-butir pengabaian dalam pertuduhan yang dihadapi anak guamnya tidak diperincikan dan ia memperjudiskan kedua-dua anak guamnya.

"Kami berhujah bahawa cara atau bagaimana anak guam kami mengabaikan mangsa tidak dinyatakan dalam pertuduhan. Pengabaian itu bagaimana?.

"Membenarkan kanak-kanak itu melarikan diri atau membiarkannya di satu tempat tanpa pengawasan orang dewasa?. Ini adalah inti pati yang sepatutnya ada dalam pertuduhan pengabaian," kata peguam itu.

Aqharie Durranie kemudian menjawab bahawa pada peringkat ini, tidak perlu memasukkan cara pengabaian dilakukan dalam pertuduhan yang dihadapi kedua-dua tertuduh.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

-- BERNAMA