Ringkasan AI
- Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sedia bekerjasama dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Melaka bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan kakitangan agensi berkenaan.
- Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua individu, termasuk seorang kakitangan MAIM, yang disyaki terlibat dalam penyelewengan kutipan tabung awam.
- Tindakan undang-undang ini merupakan peringatan kepada semua petugas MAIM untuk terus mengutamakan aspek integriti dalam menjalankan amanah yang diberi, dengan MAIM mempunyai hampir 4,000 petugas dan menerima peruntukan RM200 juta setiap tahun untuk pelaksanaan projek dan program bantuan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata dalam isu tersebut, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun mengambil tindakan awal dengan menahan dua individu, termasuk seorang kakitangan MAIM, bagi membantu siasatan.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi MAIM berkata kedua-dua individu berkenaan disyaki terlibat dalam penyelewengan membabitkan kutipan tabung awam yang tidak diurus dengan betul, dan kedua-duanya kini menunggu proses pendakwaan.
"Penangkapan dua individu itu adalah hasil risikan dan pemantauan yang dilakukan agensi terlibat," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu di Konti Melaka FM, Jabatan Penyiaran Melaka di sini hari ini.
Semalam beberapa media melaporkan pengerusi PAC Melaka akan memanggil MAIM untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan ada petugas agensi berkenaan dipercayai terlibat dalam penyelewengan yang mencecah ratusan ribu ringgit.
Sementara itu Rahmad berkata tindakan undang-undang yang diambil merupakan peringatan kepada semua petugas MAIM agar terus mengutamakan aspek integriti dalam menjalankan amanah yang diberi.
Beliau berkata selaku badan pengurusan dasar dan penguatkuasa berkaitan hal ehwal Islam, MAIM mempunyai lapan jabatan dan 32 unit serta bahagian, yang membabitkan hampir 4,000 petugas, dan setiap tahun kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM200 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek dan program bantuan.
"Kita akan memastikan semua perbelanjaan atau peruntukan yang disalurkan untuk manfaat umat Islam di Melaka diurus dengan telus dan baik," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)