Terdahulu, enam lelaki dan seorang wanita dibawa masuk ke mahkamah dan dikawal ketat oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagaimanapun, pertuduhan tidak dapat dilakukan berikutan ketiadaan jurubahasa dan Majistret Nur Fazlina Musa menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh lantikan jurubahasa dan pertuduhan kes.
Dalam kejadian 10.30 malam 28 Januari, seorang lelaki etnik Rohingya dipercayai dipukul hingga maut sebelum mayatnya diletak dalam kolah dan ditimbus dengan tanah gara-gara dituduh mencuri barang kemas dan wang tunai lebih RM40,000.
Mangsa yang berusia lewat 20-an itu dipercayai bekerja sebagai tukang rumah di daerah ini dan menetap bersama majikannya di sebuah kawasan perumahan Jalan Kampung Sungai Baru, di sini, sejak empat bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail memberitahu, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima panggilan daripada seorang wanita memaklumkan suaminya ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di kawasan perumahan, Jalan Kampung Sungai Baru.
Beliau berkata, punca kejadian disebabkan majikan mangsa menuduhnya mencuri wang tunai sebanyak RM40,150, seutas rantai emas dan subang hidung pada 4 Januari lalu di rumah berkenaan.
Katanya, suspek kemudian bertindak menahan mangsa dan isterinya serta bapa mangsa yang mempunyai kad pelarian Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) sejak sebulan lalu.
Ketika dalam tahanan suspek, mangsa dipukul dan diminta menyerahkan semula wang tunai yang hilang itu.
Jelasnya, mangsa dipercayai turut dipukul beberapa individu dipercayai etnik Rohingya dan mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih 24 jam daripada tarikh dan waktu mayat mangsa ditemui.
Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa ditutup dengan kain cadar lalu dimasukkan ke dalam kolah di dalam bilik air sebelum ditimbus dengan tanah di sebuah rumah berhampiran kawasan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.