KUALA LUMPUR: Majoriti negara anggota ASEAN perlu mengguna pakai zon waktu seragam GMT+8 berikutan ini akan terus menyepadukan ASEAN sebagai blok ekonomi yang kukuh, kata Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata idea itu bukan baharu dan kali pertama telah dicadangkan pada 1995, dicadangkan semula oleh Malaysia pada 2006 dan sekali lagi pada 2015 apabila Malaysia kali terakhir mempengerusikan ASEAN.

"Pada masa ini, Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia tengah dan Filipina telah berada dalam zon waktu GMT+8 sejajar dengan China, Hong Kong, Taiwan, Macau dan Australia Barat.

"Apa yang diperlukan ialah Indonesia menukar waktu barat Indonesia (yang termasuk Jakarta) kepada zon waktu yang sama dengan Indonesia tengah (iaitu terletak ibu negara pentadbiran baharu, Nusantara) serta untuk Thailand, Kemboja, Laos dan Vietnam beralih daripada zon waktu GMT+7 kepada GMT+8.

"Ini akan menjadikan hanya Myanmar sebagai negara ASEAN yang terletak paling barat dalam kumpulan tersebut (pada masa ini GMT+6.30) dan bahagian timur Indonesia yang mempunyai kurang penduduk (pada masa ini GMT+9) berada di luar zon waktu seragam ASEAN," katanya dalam ucapan pada Forum Tinjauan Ekonomi dan Strategik Malaysia 2025 (MESOF 2025) di sini hari ini.

Menurut Abdul Wahid, zon waktu yang seragam akan menyepadukan ASEAN dengan lebih baik dari aspek ekonomi, sosial dan sosiopolitik.

"Perjalanan masa depan tidak terlepas daripada cabaran. Namun, cabaran datang dengan peluang. Prospek ekonomi Malaysia, pendekatan proaktif kita terhadap pasaran kewangan dan kepimpinan kita dalam kerjasama serantau akan menjadikan kita lebih kuat dan lebih berdaya tahan.

"Bagi merealisasikan visi ini, kerjasama antara kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil adalah penting.

"Melalui komitmen bersama dan usaha bersepadu, kita dapat menempuh landskap global yang rumit dan memacu pertumbuhan yang mampan untuk negara dan rantau ini," katanya.

Anjuran Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik (KSI), dengan kerjasama Kelab Ekonomi Kuala Lumpur, MESOF 2025 ialah acara tahunan yang menghimpunkan pakar ekonomi, penggubal dasar dan pemimpin pemikiran untuk memberikan pandangan mengenai trajektori ekonomi Malaysia serta prospek serantau dan global untuk tahun depan.

Forum itu, yang dihadiri kira-kira 100 perwakilan, menarik perhatian pelbagai golongan termasuk pegawai kanan kerajaan, pemimpin perniagaan, ahli akademik dan wakil industri.

-- BERNAMA