Perkara itu disampaikan oleh pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Asim S M Alamssi, yang menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan rakyat Malaysia terhadap penderitaan di wilayah yang bergolak itu.
"Jika anda tanya sesiapa sahaja di Gaza, 'Apa pendapat anda tentang Malaysia?', mungkin mereka akan mengecam banyak negara tetapi apabila disebut tentang Malaysia, kami benar-benar menyayangi Malaysia.
"Terima kasih banyak, secara peribadi saya rasa seperti mengenali setiap seorang daripada anda. Saya berasa sangat terharu," katanya ketika berkongsi pengalaman itu dalam satu sesi Gaza Genocide: A 7 month Survivor's Story, di sini pada Khamis.
Asim merupakan antara penduduk Gaza yang terpaksa berdepan dengan kekejaman Zionis sejak konflik Israel-Hamas tercetus pada Oktober 2023.
Dia melalui tempoh penuh cabaran selama tujuh bulan sebelum akhirnya berjaya melintasi sempadan Rafah pada April tahun lalu untuk meneruskan pengajiannya di Malaysia.
Pengajiannya dibiayai separuh oleh UKM-GSB.

Asim turut berkongsi, dia sedang mengajurkan program Hands for Gaza sebagai salah satu projek akhir MBAnya untuk terus memperkukuh bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan menyalurkan keperluan asas kepada mangsa konflik yang terjejas.
Setakat ini, lebih 6,000 keping roti telah diagihkan kepada 100 buah keluarga, manakala 300 pasang kasut serta 27,000 liter air diberikan bagi melindungi kanak-kanak daripada kesejukan melampau.
Sejak konflik tercetus pada Oktober 2023, jumlah kematian di Gaza telah meningkat kepada 48,515 setakat Rabu, dengan majoritinya terdiri daripada kanak-kanak dan wanita.
Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), jumlah kecederaan kini mencecah 111,941 orang.
Dalam tempoh 24 jam terakhir sahaja, 12 rakyat Palestin disahkan terkorban dan 14 lagi cedera, dengan kesemua mereka dihantar ke hospital-hospital di Gaza.
