Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata inisiatif itu akan menyediakan proses yang jelas, boleh dijangka, dan adil dalam mengendalikan kes kebankrapan melibatkan pelbagai bidang kuasa.
Beliau berkata penerimaan Undang-Undang Seragam UNCITRAL mencerminkan komitmen Malaysia terhadap inovasi undang-undang dan tadbir urus ekonomi sekali gus membentuk landskap ekonomi dan perundangan negara untuk masa hadapan.
"Undang-Undang Seragam ini akan meningkatkan kepastian undang-undang, memperkukuh kerjasama global, dan melindungi hak pemiutang. Ia juga akan meningkatkan keyakinan pelabur, membuktikan bahawa Malaysia komited terhadap penyelesaian kebankrapan yang adil, telus dan cekap," katanya dalam ucaptama pada Persidangan Insolvensi Rentas Sempadan Malaysia 2025 di sini hari ini.
Azalina berkata sistem kebankrapan yang kukuh, telus dan boleh dijangka akan memberi manfaat kepada perniagaan, pemiutang, pelabur, dan ekonomi secara keseluruhan. Bagaimanapun, beliau berkata reformasi undang-undang sahaja tidak mencukupi tanpa kerjasama yang berkesan dalam kalangan pihak berkepentingan utama.
"Kita memerlukan kerjasama antara kerajaan, pakar undang-undang, institusi kewangan, dan pemain industri untuk memastikan sistem ini berfungsi dengan baik," katanya.
Bagi memastikan pelaksanaan yang lancar dan efektif, Azalina mengumumkan penubuhan dua jawatankuasa utama - Jawatankuasa Utama Reformasi Insolvensi Rentas Sempadan, yang bertanggungjawab menetapkan dasar dan memastikan rangka kerja perundangan Malaysia menyokong keutamaan perniagaan dan ekonomi.
Jawatankuasa Kerja Reformasi Insolvensi Rentas Sempadan pula akan diketuai oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, merangkumi 20 agensi utama dan menumpukan kepada pembangunan dasar praktikal untuk mengintegrasikan Undang-Undang Seragam ke dalam sistem perundangan Malaysia.
"Dengan bimbingan jawatankuasa berkenaan, rangka kerja kebankrapan Malaysia akan menjadi lebih kukuh, lebih cekap dan dihormati pada peringkat antarabangsa.
"Selain itu, dengan mengguna pakai Undang-Undang Seragam ini, kita bukan sahaja dapat melindungi pemiutang dan pihak berkepentingan, tetapi juga mewujudkan persekitaran yang memberi keyakinan, memudah cara perdagangan antarabangsa, dan menarik pelaburan global," katanya.
Azalina berkata bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada 2025, kerajaan memainkan peranan kepimpinan dalam menggalakkan kerjasama perundangan serantau untuk memperkukuh ekosistem ekonomi ASEAN.
Beliau berkata Forum Undang-Undang ASEAN 2025 akan datang bakal menjadi platform kepada pakar undang-undang, penggubal dasar dan pemimpin industri dari negara anggota ASEAN dan rakan dialog untuk membincangkan tentang penyelarasan undang-undang kebankrapan di rantau ini.
"Pendekatan bersatu ini akan menjadikan urusan perniagaan rentas sempadan lebih mudah, menarik pelabur dan mewujudkan persekitaran kewangan yang lebih stabil," katanya.
Persidangan Insolvensi Rentas Sempadan Malaysia 2025 yang julung kali diadakan bertemakan Navigating Cross-Border Insolvency: Challenges and Prospects for Malaysia, dianjurkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pengamal Insolvensi Malaysia (iPAM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
Persidangan itu menarik hampir 500 peserta termasuk pengamal undang-undang, ahli ekonomi, pakar kewangan, akademik, pelajar universiti dan wakil daripada sektor awam.
-- BERNAMA
