Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad memulakan ucapannya dengan menggariskan kesan dahsyat serangan Israel ke atas Gaza.
Beliau menyatakan bahawa 431 hari telah berlalu sejak serangan bermula, mengakibatkan lebih 44,000 kematian, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
“Lebih daripada 105,000 orang telah cedera, dan tahun 2024 mencatatkan angka kematian tertinggi bagi petugas kemanusiaan dengan 178 terbunuh di wilayah Palestin yang diduduki sahaja.
“Situasi kemanusiaan di Gaza telah lama digambarkan sebagai ‘bencana besar’. Namun, bantuan kemanusiaan terus disekat,” katanya dalam ucapannya di perhimpunan itu.
Ahmad Faisal berkata Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan terdapat 53 percubaan oleh PBB untuk memasuki kawasan terkepung di utara Gaza pada November, tetapi 48 daripadanya dinafikan manakala lima lagi dihalang dengan serius.
“Keadaan ini menjadi begitu mengerikan sehingga sukar dibayangkan," katanya, menggambarkan Gaza umpama "padang pasir yang tandus", dengan 60 peratus bangunan musnah atau rosak dan infrastruktur kritikal musnah.
Beliau memberi amaran mengenai risiko jangka panjang terhadap alam sekitar dan kesihatan yang serius akibat pengeboman itu.
Sementara itu, merujuk kepada situasi di Tebing Barat, Ahmad Faisal menekankan peningkatan keganasan dan gangguan oleh peneroka Israel, peluasan penempatan haram, serta perobohan rumah penduduk Palestin.
“Lebih membimbangkan, beberapa pegawai berpangkat tinggi Israel secara terbuka menyokong pengilhakan,” katanya, sambil mengecam operasi keselamatan Israel yang semakin agresif termasuk serangan udara dan penahanan sewenang-wenangnya terhadap orang awam Palestin.
Beliau turut mengkritik serangan Israel terhadap agensi PBB, khususnya Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) yang disifatkannya sebagai tonggak utama sokongan kemanusiaan bagi pelarian Palestin.
Ahmad Faisal juga menyeru masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB, agar tidak berdiam diri terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel, meskipun terdapat bukti jelas pelanggaran undang-undang antarabangsa yang teruk.
“Kegagalan majlis untuk menerima pakai resolusi yang menyeru gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal kerana penggunaan veto telah memberikan keberanian kepada Israel untuk bertindak lebih kejam kerana kekebalan yang terus dinikmati,” katanya.
Beliau menyeru negara anggota untuk menyokong dua resolusi penting yang bertujuan menamatkan keganasan dan memastikan kesinambungan bantuan kemanusiaan.
"Malaysia dengan tegas mengutuk pencerobohan Israel di wilayah Palestin yang diduduki dan serangannya di wilayah yang lebih luas," katanya, sambil menyeru agar sokongan senjata dan kewangan kepada Israel dihentikan dengan segera, serta menekankan kepentingan menghentikan pembunuhan orang awam yang tidak bersalah.
Beliau juga menyokong Majlis Keselamatan PBB menerima pakai resolusi Bab VII terhadap Israel atas tindakannya, sambil mencadangkan negara anggota mempertimbangkan semula tempat Israel dalam Perhimpunan Agung.
Ahmad Faisal mengakhiri ucapannya dengan menegaskan komitmen Malaysia terhadap kenegaraan Palestin dan menyambut baik persidangan antarabangsa yang akan datang mengenai isu Palestin sebagai peluang untuk memajukan pelaksanaan resolusi PBB ke arah penentuan nasib sendiri Palestin.
"Satu-satunya cara untuk mencapai keamanan dan kestabilan yang mampan di rantau ini adalah dengan menamatkan pendudukan haram Israel ke atas tanah Palestin dan merealisasikan negara Palestin yang bebas dan merdeka mengikut sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya," tambahnya.
-- BERNAMA