PUCHONG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi pendirian bahawa kerajaan Malaysia akan terus lantang dan tegas untuk mempertahankan hak Palestin.


Ringkasan AI
  • Malaysia akan terus lantang dan tegas mempertahankan hak Palestin dan rakyatnya untuk membangunkan semula negara mereka secara bebas, tanpa campur tangan negara lain.
  • Malaysia mengumumkan bantuan dalam pembinaan semula Gaza dan Palestin melalui kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta, serta kerjasama dengan kerajaan Jepun.
  • Pengumuman ini dibuat susulan pelaksanaan gencatan senjata antara Hamas dan Israel, dengan Malaysia dan ASEAN menyokong usaha pembinaan semula Gaza.


Beliau berkata kerajaan juga kekal teguh dengan hak Palestin dan rakyatnya untuk membangunkan semula negara itu secara bebas.

"Soal Gaza ini, semua orang tahu, sangat merunsingkan, tapi kita (Malaysia) tegas dengan pendirian kita bersama rakan-rakan, bersama negara-negara Arab dan Islam untuk sokong Palestin.

"Pendirian kita tidak ada mana-mana negara lain berhak untuk menentukan nasib dan hak rakyat Palestin sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Salam di Puchong Perdana di sini hari ini.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada 4 Feb dilaporkan berkata bahawa "AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza", tidak lama selepas mencadangkan penempatan semula penduduk Palestin secara kekal di luar wilayah itu.

Anwar pada 29 Jan lepas mengumumkan bantuan Malaysia dalam pembinaan semula Gaza dan Palestin akan dijalankan menerusi kolaborasi antara rakyat Malaysia dan sektor swasta.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata usaha pembangunan semula Gaza juga melibatkan kerjasama antara kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur.

Pengumuman dilakukan Perdana Menteri itu susulan pelaksanaan gencatan senjata melibatkan tiga fasa antara kumpulan Hamas dan Israel mula berkuat kuasa dalam fasa satu, yang meliputi tempoh enam minggu, pada 26 Jan lepas.

-- BERNAMA