KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk terus bekerjasama dengan rakan antarabangsa dalam merealisasikan pembangunan yang lebih adil, mampan dan berdaya tahan demi kesejahteraan bersama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menekankan perkara itu dalam pertemuan dengan Setiausaha Eksekutif Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Asia dan Pasifik (UNESCAP) Armida Salsiah Alisjahbana, hari ini.

Anwar berkata Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan dengan UNESCAP dan badan antarabangsa lain, bagi memastikan pembangunan ekonomi dan sosial di Asia-Pasifik terus diperkasakan.

"Perbincangan ini juga selari dengan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, yang menekankan keterangkuman dan kemampanan sebagai teras utama dalam agenda serantau," kata beliau menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

UNESCAP adalah satu daripada lima suruhanjaya serantau PBB yang mempromosikan pembangunan inklusif, berdaya tahan dan mampan.

Suruhanjaya itu terlibat dengan ASEAN melalui pelbagai inisiatif seperti bengkel promosi pelaburan dan projek pelaburan hijau.

-- BERNAMA