KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk memimpin ASEAN dalam menangani pelbagai bentuk jenayah rentas sempadan termasuk penipuan dalam talian, penyeludupan manusia dan pengubahan wang haram, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, sebagai Pengerusi Mesyuarat Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) dan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (SOMTC) tahun ini, Malaysia tidak hanya berperanan sebagai pemudah cara, tetapi juga sebagai peneraju utama dalam usaha menangani jenayah serantau.

"Malaysia akan mempengerusikan AMMTC dan SOMTC, dan ini akan menjadi platform utama untuk menangani jenayah seperti penyeludupan manusia, dadah dan jenayah siber.

"Kita mahu ASEAN lebih selamat, bersedia dan tegas dalam menangani jenayah serta isu serantau," katanya dalam program wawancara eksklusif "ASEAN: Dari Kuala Lumpur ke Dunia" terbitan Bernama TV malam Khamis.

Beliau berkata, penipuan dalam talian yang semakin berleluasa di seluruh rantau ini telah menjadi ancaman serius bukan sahaja menjejaskan kestabilan ekonomi tetapi juga mengancam keselamatan sosial negara-negara ASEAN.

"Scam (penipuan) kini semakin canggih, melibatkan kerugian berbilion dolar, serta eksploitasi manusia dan ketidakstabilan pelaburan asing di ASEAN," katanya.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia juga dalam usaha mengemukakan perancangan jangka panjang bagi memastikan setiap negara ASEAN selari dalam menangani ancaman jenayah.

Beliau berkata, perancangan itu akan dibawa sebaik Malaysia mengetuai penyediaan ASEAN Plan of Action in Combating Transnational Crime serta Program Kerja SOMTC nanti.

"ASEAN berpegang kepada prinsip tidak campur tangan (non-interference), tapi kita tak boleh hanya melihat apabila krisis seperti di beberapa negara berlaku, atau membiarkan jenayah siber semakin berleluasa.

"Kita perlu lebih fleksibel dalam bertindak terhadap ancaman yang mengganggu kestabilan serantau," katanya.

Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025 menandakan kali kelima menggalas tanggungjawab itu selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA