LANGKAWI: Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan, mengadakan tiga pertemuan bilateral pada Ahad bersama rakan sejawatannya dari Vietnam, Singapura, dan Indonesia bagi memperkukuh kerjasama serta hubungan dua hala.

Di luar Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, Mohamad bertemu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Vietnam, Bui Thanh Son.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memaklumkan kedua-dua menteri menegaskan kepentingan kerjasama erat dalam mencapai Visi Komuniti ASEAN 2045.

"Mereka turut menilai hasil kejayaan lawatan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam ke Malaysia pada November 2024 dan menyemak kemajuan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) antara kedua-dua negara.

"Persediaan untuk Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) yang akan dihoskan oleh Malaysia tahun ini turut dibincangkan," menurut kenyataan itu.

Bui mengucapkan tahniah kepada Mohamad atas kejayaan penganjuran Permukiman AMM dan menyampaikan penghargaan atas layanan serta susunan acara yang cemerlang oleh Malaysia.

Beliau turut menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Malaysia dalam ASEAN pada 2025 serta berikrar memberi sokongan penuh terhadap tema dan keutamaan Kepengerusian Malaysia.

Dalam pertemuan berasingan, Mohamad bertemu rakan sejawatannya dari Indonesia, Sugiono.

"Kedua-dua menteri mengulangi komitmen mereka untuk memperkukuh hubungan dua hala, mengambil kira hubungan peribadi yang rapat antara pemimpin kedua-dua negara, dan bersetuju untuk menangani sebarang isu dua hala secara harmoni bagi memupuk kerjasama lebih mendalam serta memastikan kemajuan berterusan dalam perkongsian mereka," katanya.

Sugiono memuji penganjuran Permukiman AMM oleh Malaysia dan mengesahkan sokongan kukuh Indonesia terhadap Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Pada sebelah petang, Mohamad bertemu Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan bagi membincangkan momentum positif daripada permukiman itu dan menjangka kesinambungan kerjasama ini berterusan sepanjang tahun kalendar ASEAN ini.

"Menteri Luar (Singapura) menekankan bahawa Kepengerusian Malaysia akan memberi tumpuan kepada pembangunan inisiatif yang memberikan manfaat nyata kepada ASEAN," menurut kenyataan itu.

Mohamad dan Balakrishnan turut menyemak semula tindakan susulan daripada Permukiman Pemimpin Tahunan ke-11 yang diadakan pada 7 Januari, terutamanya penandatanganan Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

"Kedua-dua pihak menegaskan semula komitmen mereka untuk memperkukuh perkongsian dua hala dalam pelbagai sektor dan bersetuju mengenai kepentingan menangani isu tertunggak dengan kaedah yang memastikan kerjasama menang-menang," tambah kenyataan itu.

Balakrishnan mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan Permukiman AMM dan menyatakan keyakinannya terhadap kemampuan Malaysia memimpin ASEAN dengan berkesan sepanjang 2025.

Permukiman AMM selama dua hari yang berakhir pada Ahad ini menandakan mesyuarat utama pertama di bawah Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada 2025, membuka tirai untuk tahun yang produktif dan penting.

-- BERNAMA