KUALA LUMPUR: Malaysia dan Perancis senada dalam memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan, ekonomi, tenaga, perdagangan, pelaburan, pelancongan serta kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam perbualan telefon beliau bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Jumaat, susulan pertemuan mereka di Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil, pada 19 November lalu.

"Saya turut menyatakan penghargaan kepada Macron di atas sokongan diberikan terhadap pembangunan semula Gaza ekoran kekejaman rejim zionis Israel sebelum ini," katanya dalam Facebooknya di sini, pada Jumaat.

Perdana Menteri memberitahu, dalam perbincangan itu, kedua-dua pemimpin turut menyentuh isu Myanmar dan bersetuju mencari jalan penyelesaian secara diplomatik demi mewujudkan keamanan di negara tersebut.

Selain itu, Anwar turut menyatakan kesediaan kerajaan Malaysia untuk menerima kehadiran Macron serta delegasinya ke Malaysia pada Mei ini, bagi memperkukuh lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

"Dalam kesempatan yang ada, saya turut menyatakan kesediaan kerajaan menerima kehadiran Macron dan delegasi ke Malaysia Mei ini dalam usaha meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara," ujarnya.